PEGAWAI BANK ANTARA YANG MAUT KEMALANGAN DI SELAT PAGAR


LAPORAN KEMALANGAN MAUT : Dua pegawai bank maut, seorang lagi cedera dalam kemalangan di Kilometer 53, Jalan Kuala Kangsar - Gerik berhampiran kawasan rehat Selat Pagar.

Kemalangan pada 4 petang itu membabitkan pacuan empat roda jenis Nissan Navara yang dinaiki ketiga-tiga mangsa dengan sebuah lori dipandu seorang lelaki berusia 66 tahun yang turut cedera.

Mangsa yang meninggal dunia dikenal pasti sebagai Muhamad Isa Mohd Ros, 45, dan Baharuddin Amaran, 52, manakala rakan sekerja mereka yang cedera dikenal pasti sebagai Mahuddin Mokhtar, 57 dan mereka difahamkan adalah pegawai bank di Ipoh.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Lenggong berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian pada 4.04 petang membabitkan sebuah pacuan empat roda dengan lori tiga tan.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, bomba dapati dua mangsa tersepit dalam Nissan Navara dan menggeluarkan mangsa menggunakan peralatan menyelamat.

"Mangsa bagaimanapun disahkan sudah meninggal dunia di lokasi kejadian oleh paramedik," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, mangsa yang cedera diserahkan kepada paramedik untuk rawatan sebelum dihantar ke hospital menggunakan ambulans dan operasi tamat pada jam 4.45 petang.

BAS PELANCONG TERBALIK DI GENTING HIGHLAND PEMANDU BAS MAUT TERSEPIT


LAPORAN KEMALANGAN MAUT : Pemandu bas persiaran maut, 15 penumpang cedera selepas bas itu terbalik di Jalan Genting Highlands, 7 malam tadi.

Komander operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Genting Highlands, Penguasa Bomba Engku Fadzir Engku Man berkata, pihaknya menerima panggilan pada 7.15 malam sebelum sebuah jentera bomba dengan kekuatan tujuh anggota ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba di lokasi, kami mendapati bas persiaran yang membawa 25 penumpang pelancong asing dari China terbalik.

"Bas itu dalam perjalanan dari Genting Highlands ke Kuala Lumpur dikatakan hilang kawalan sebelum terbabas dan terbalik," katanya ketika dihubungi.

Semua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapatkan rawatan, manakala mayat pemandu itu diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

SEORANG LELAKI MAUT KERETA DI PANDU TERPEROSOK BAWAH TRELER


Seorang lelaki maut selepas kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah treler dalam kemalangan di Kilometer 73 Jalan Jerangau-Jabor di hadapan Pusat Koreksional Bukit Besi, malam tadi.

Insiden kira-kira pukul 8.10 malam itu menyebabkan mangsa, Syed Roslim Syed Ali, 26, terbunuh di tempat kejadian.

Nahas itu dipercayai berlaku selepas kereta Proton Wira yang dipandu mangsa dari arah Ajil ke Bukit Besi hilang kawalan dan berpusing sebelum masuk ke laluan bertentangan.

Sejurus selepas itu, sebuah treler yang membawa muatan kelapa sawit dipandu dari arah bertentangan gagal mengelak lalu merempuh kereta itu dan mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala serta anggota badan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Al Muktaffi Billah Shah (AMBS), Jas Wari Awang berkata, enam anggota bomba bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima laporan.

"Kita mengambil masa kira-kira 20 minit sebelum berjaya mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu," katanya ketika ditemui ditempat kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun Supt. Ahmad Zailani Yaacub ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian dan menurutnya mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Dungun untuk dibedah siasat.

"Pemandu treler terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan dan ujian saringan air kencing telah dilakukan kepada pemandu treler yang berasal dari Ajil itu negatif daripada pengaruh dadah," katanya.

BAPA MAUT ANAK PARAH KERETA MASUK LALUAN BERTENTANGAN DI REMPUH TRELER


LAPORAN KEMALANGAN MAUT : Bapa maut, anak parah selepas kereta yang mereka naiki bertembung dengan treler di Batu 22 Jalan Apas, Balung.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, mangsa Asmuni Sait, 45, meninggal dunia di lokasi kejadian manakala anaknya, Mohd Huzaini Hamzi, 16, mengalami kecederaan parah dan dihantar ke Hospital Besar Tawau.


Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata,siasatan mendapati kenderaan Proton Saga yang dinaiki kedua-dua mangsa dipercayai dalam perjalanan dari arah Bandar Tawau menuju ke Semporna.

"Ketika kejadian, kenderaan mangsa hilang kawalan dan merempuh pembahagi jalan sebelum masuk ke lorong bertentangan.

"Dalam masa yang sama, sebuah treler 10 tan yang datang dari Semporna ke bandar Tawau merempuh kereta mangsa sehingga menyebabkan kenderaan terpusing dan rosak dibahagian badan kanan," katanya ketika dihubungi.

Fadil berkata, pemandu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan anaknya sedang menerima rawatan di hospital.

"Kes masih dalam siasatan pihak polis mengikut Seksyen 41(1) Akta pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

LULUH HATI ISTERI LIHAT SUAMI DAN ANAK DIGILIS TRELER


LAPORAN KEMALANGAN MAUT : Dua beranak maut dalam keadaan menyayat hati dan tragis apabila digilis treler di persimpangan lampu isyarat Kendong Alor Gajah.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.00 petang itu, mangsa, Muhammad Shaiful Zulkepli, 34, yang beralamat di Kampung Tanjong, Gadong dan anak perempuannya berusia empat tahun maut di tempat kejadian.

Keadaan dua beranak yang maut digilis tayar lori treler di persimpangan lampu isyarat Kendong Alor Gajah, di sini, petang tadi.

Sementara isterinya pula, Nor Adlina Hassan, 30, cedera di kepala akibat jatuh dihantar ke Hospital Tampin bagi rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan A Asmadi Abd Aziz berkata, berdasarkan siasatan awal, kemalangan berkenaan membabitkan dua buah kenderaan iaitu lori treler tanpa muatan dan juga motorsikal jenis Honda Wave dinaiki tiga beranak.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian di susur masuk ke Alor Gajah iaitu di lampu isyarat Kendong, kedua-dua buah kenderaan telah bergesel semasa lori treler berkenaan membelok ke Alor Gajah, sementara mangsa pula mahu meneruskan perjalanan ke arah Rembau.

“Kedua-dua mangsa terjatuh dan diseret oleh lori treler berkenaan. Kedua-duanya maut di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.  Mayat mangsa di bawa ke Hospital Alor Gajah bagi proses bedah siasat.

“Pemandu lori treler iaitu lelaki Melayu berusia 35 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.  Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Al-Fatihah..


MAUT AKIBAT TERPEROSOK DI BAWAH JEJAMBAT KONKRIT DI LEBUHRAYA KARAK


LAPORAN KEMALANGAN MAUT : Timbalan Ketua Balai Polis Salak Selatan maut selepas kereta dipandu terbabas dan terperosok ke dalam longkang konkrit di Kilometer 65 Lebuhraya KL-Karak.

Dalam kejadian 3.30 petang itu, mangsa, Sub Inspektor Mansor Buman, 59, dalam perjalanan ke Kuala Lumpur.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang Superitendan Mohamad Noor Yusuf Ali berkata, hasil siasatan awal mendapati kereta dipandu mangsa terbabas ke bahu jalan sebelum melanggar konkrit longkang berkenaan.

"Akibat pelanggaran itu, kereta dipandu remuk teruk di bahagian depan dan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Bentong untuk dibedah siasat. Kemalangan disiasat Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Mangsa pernah bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi sebelum dilantik menjadi Timbalan Ketua Balai Polis Salak Selatan.

TRELER MUATAN PASIR MASUK LALUAN BERTENTANGAN DI GOMBAK


LAPORAN KEMALANGAN MAUT : Seorang lelaki, 51, maut selepas kereta dipandunya bertembung dengan treler membawa muatan pasir di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) arah Batu Caves menunju Plaza Tol Gombak, di sini, jam 8.45 pagi tadi.

Pemangku Penyelia Bomba Selayang, Harashid Rusli berkata, kemalangan turut menyebabkan anak lelaki mangsa cedera sementara mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian

Beliau berkata, siasatan awal mendapati treler yang dipandu dari arah Plaza Tol Gombak menunju Batu Caves, di sini, dipercayai hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan empat kenderaan lain.

"Pemandu kenderaan lain tidak mengalami kecederaan dan mayat akan dihantar ke Hospital Selayang untuk bedah siasat," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Difahamkan kejadian itu turut menyebabkan kesesakan lalu lintas sejauh kira-kira 5 kilometer dari arah Batu Caves.

PENUNGGANG MOTOSIKAL MAUT BERTEMBUNG DENGAN VAN DI SIMPANG LORONG BERCHAM


LAPORAN KEMALANGAN MAUT : Lelaki berusia 23 tahun maut selepas motosikal ditunggang melanggar van di Jalan Bercham berhampiran simpang Lorong Bercham 11, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian 4.45 pagi itu, Mohd Farhan Mohd Ali, 23, meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu van berusia 53 tahun cedera di muka dan kepala.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, siasatan mendapati van berkenaan dalam perjalanan dari pusat bandar ke pasar pagi Jalan Bercham.

Katanya, setibanya di lokasi kejadian, pemandu van berkenaan membelok kenderaannya sebelum bertembung dengan motosikal terbabit yang datang dari arah bertentangan.

“Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal berkenaan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu van cedera dan menerima rawatan di Hospital Fatimah, di sini,”katanya ketika dihubungi, di sini.

Chang Keong berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat sebelum dituntut waris untuk urusan pengebumian.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

RAKAMAN MAUT DIRAKAM PEMANDU DARI BELAKANG


LAPORAN KEMALANGAN MAUT : Tindakan seorang pemandu kereta mengelak motosikal menukar laluan secara mengejut berakhir dengan tragedi apabila dia maut dalam kemalangan di Jalan Luak, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian 8.10 pagi itu, mangsa, S’ng Yee Siong, 28, dari Tukau di sini, yang memandu Proton Saga, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Sumber berkata, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan dari arah Bintulu ke Miri sebelum dikejutkan dengan kehadiran sebuah motosikal cuba menukar laluan ke lorong kiri jalan.

Menurutnya, mangsa yang berada di lorong itu cuba mengelak motosikal hingga mengakibatkan kereta dipandunya hilang kawalan.

“Kenderaan dipandu mangsa bergesel dengan tembok jambatan sebelum merempuh penghadang jalan.

“Rempuhan kuat mengakibatkan mangsa tercampak keluar dari kenderaannya dan disahkan maut di tempat kejadian berikutan kecederaan di kepala,” katanya.

Katanya, kejadian itu juga turut dirakam kamera pada sebuah kereta yang dipandu dari arah sama.

Sementara itu, Pegawai Turus Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak Deputi Superintendan Alexson Naga ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik dan mayatnya dihantar ke Hospital Miri di sini untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya. “Kes akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.




SEORANG MAUT SEORANG LAGI PARAH KERETA DI PANDU TERJUNAM DALAM GAUNG


Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera parah selepas kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya terbabas dan terjatuh ke gaung sedalam 50 meter di Kilometer 260 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara selepas Terowong Menora, Ipoh pada Rabu.

Dalam kejadian pada jam 5.20 petang itu mangsa Muhammad Safiq Danial Alias, 18, meninggal dunia di tempat kejadian manakala rakannya, Mohamad Nur Hafiz Mohd Ridzuan, 20, patah kaki kiri.

Menurut Pegawai Turus Trafik Perak, Mohd Mahiri Hussin siasatan awal mendapati kenderaan dipandu mangsa gagal dikawal sebelum terbabas ke kiri jalan dan terjatuh ke dalam gaung sedalam 50 meter itu.

Katanya, kedua-dua mangsa telah tercampak keluar dari kenderaan manakala kenderaan telah mengalami kerosakan teruk.

Jelasnya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


“(Kenderaan) dipercayai terbabas ke kiri dan melanggar pembahagi jalan dan menjunam ke gaung sedalam 50 meter.

“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian kerana tercampak keluar dari kenderaan, manakala seorang lagi penumpang mengalami kecederaan dan dibawa ke hospital,” ujar Mohd Mahiri.

Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat manakala mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Kuala Kangsar untuk rawatan lanjut.

Kira-kira 20 anggota bomba telah melakukan kerja-kerja menyelamat dan operasi telah berakhir pada jam 7 petang.

Mohd Mahiri berkata polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengetahui punca kejadian dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

WANITA MAUT TERCAMPAK KELUAR DARI LORI YANG DI PANDU SUAMI DI LEBUHRAYA KARAK


LAPORAN KEMALANGAN MAUT : Seorang wanita maut selepas lori dinaikinya merempuh sebuah lori lain di Kilometer 31.6 Lebuh raya Karak.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.40 pagi itu, mangsa yang berusia 20-an tercampak keluar dari tempat duduk penumpang hadapan lori yang dipandu suaminya dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Bagaimanapun, suaminya yang berusia 20-an dan anak mereka hanya cedera ringan manakala pemandu sebuah lagi lori tidak mengalami sebarang kecederaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintenden Mohd. Marzukhi Mohd. Mokhtar berkata, siasatan awal mendapati kemalangan tersebut berlaku apabila suami mangsa yang memandu lori 10 tan terlanggar bahagian belakang sebuah lori yang memandu perlahan di lorong paling kiri.

Mohd. Marzukhi berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Selayang untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1897.

TRAGEDI PERGI BERAYA


LAPORAN KEMALANGAN MAUT : Tiga beradik di Taman Suria, Buloh Kasap, di sini, menjadi yatim piatu sekelip mata selepas ibu dan bapa mereka terlibat dalam kemalangan maut di Kilometer 2.5 Jalan Labis-Muar, di sini, petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Segamat, Supritendan Mohd Kamil Sukarmi berkata, kemalangan yang berlaku kira-kira 7.20 petang itu mengakibatkan Mohd Rezal Abdul Karim, 37, bersama isterinya, Rozaimah Mahmood, 41, dan anak ketiganya, Nuralisa Yasmin, 11, maut.

“Ketika kejadian, Mohd Rezal yang memandu kereta Proton Saga bersama isteri dan empat lagi anaknya dipercayai dalam perjalanan dari rumah mereka di Taman Suria, Buloh Kasap untuk pergi beraya ke rumah kenalan mereka di Labis.

“Sewaktu tiba di lokasi kejadian, sebuah pacuan emat roda jenis Mitsubishi Triton yang dipandu seorang lelaki berumur 55 tahun yang datang dari arah Muar-Labis telah masuk ke laluan bertentangan sebelum melanggar kereta yang dinaiki mangsa,” katanya.

Menurutnya, akibat perlanggaran tersebut, Mohd Rezal dan Rozaimah maut serta merta di tempat kejadian akibat tersepit di bahagian hadapan kenderaan selain mendapat kecederaan parah di bahagian kepala dan anggota badan.

Katanya, anak bongsu mangsa, Nurdurrah Khadeeja, 1, pula kritikal dan dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru (HSAJB) manakala Nuralisa meninggal dunia di Hospital Daerah Segamat (HDS) kira-kira jam 3.30 pagi sewaktu mendapat rawatan.

“Selain itu, anak sulung mangsa, Muhammad Aniq Aiman, 16, kini ditempatkan di wad biasa manakala adiknya, Muhammad Haziq Iqbal, 13, sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HDS.

“Kes disisasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan jenazah Mohd Rezal dan Rozaimah telah dituntut oleh keluarganya awal pagi ini (semalam) manakala jenzah Nuralisa sedang dibedah siasat dan akan dikebumikan hari ini,” katanya.

Sementara itu, bapa saudara Mohd Rezal, Sulaiman Badrun, 62, ketika dijumpai di Rumah Mayat HDS berkata, kali terakhir dia berjumpa keluarga tersebut adalah pada hari raya kedua di rumah ibu mertuanya di Kampung Paya Lang, di sini.

Menurutnya, kesemua mangsa juga akan dikebumikan di dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Mensudut Pindah dan mengakui masih terkejut dengan tragedi yang menimpa keluarga malang berkenaan.

“Mohd Rezal bekerja sebagai pemandu lori manakala isterinya tidak bekerja dan dia (Rezal) seorang yang mudah mesra dan peramah dan sewaktu kali terakhir saya berjumpanya, tiada sebarang perlakuan atau tanda ganjil yang ditunjukkan olehnya.

“Apa yang paling menyayat hati, anak-anak mangsa menjadi yatim piatu dan hilang tempat bergantung sekelip mata pada Syawal kelima dan saya menganggapnya sebagai takdir pada bulan mulia ini,” katanya.

Katanya, dia bersama ahli keluarga yang lain juga akan berbincang mengenai nasib terutamanya hak penjagaan anak-anak mangsa selepas ini selain akan berusaha membantu melupakan trauma yang berlaku.

BUDAK 11 TAHUN DIJUMPAI MATI DI TEPI JALAN AKIBAT TERJATUH DARI MOTOSIKAL


Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun maut selepas terjatuh dari motosikal yang ditunggangnya di Jalan Lingkaran, FELDA Kahang Barat, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Muhamad Laham berkata, dalam kejadian jam 4.55 petang, mangsa, Muhammad Azrie Hakimie Mohd Zamri menunggang motosikal seorang diri dari FELDA Kahang Barat melalui Jalan Lingkaran.

Beliau berkata, sebaik sampai di tempat kejadian, motosikal mangsa tiba-tiba hilang kawalan menyebabkan mangsa terjatuh dan cedera parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia.

“Jenazah mangsa dirujuk ke Hospital Enche Besar Hajjah Kalthom (HEBHK), di sini, untuk dibedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga bagi dikebumikan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Menurut Muhamad, siasatan di tempat kejadian mendapati kemalangan berlaku di jalan dua lorong yang lurus selain keadaan kering dan rata serta bukan laluan utama penduduk di FELDA itu.

“Kejadian itu membabitkan kanak-kanak yang tidak mempunyai lesen memandu yang sah.

“Kemalangan membabitkan kematian ke atas pemandu dan penunggang yang tidak mempunyai lesen memandu yang sah semakin membimbangkan sejak akhir-akhir ini walaupun beberapa langkah pencegahan sudah dilakukan.

“Oleh itu, ibu bapa atau penjaga diingatkan supaya memastikan kenderaan milik mereka tidak sewenangnya digunakan anak terutama kepada mereka yang diketahui tidak mempunyai lesen memandu yang sah,” katanya.

Muhamad berkata, tindakan tegas boleh dikenakan terhadap ibu bapa mangsa sekiranya siasatan mendapati mereka bersalah kerana dengan sengaja memberikan kebenaran untuk menggunakan kenderaan milik mereka.

ANAK KECIL MAUT IBU BAPA PARAH KERETA LANGGAR BAS MINI


Seorang budak perempuan berusia 17 bulan maut manakala ibu bapanya cedera parah apabila kereta Proton Waja mereka naiki terbabit dalam kemalangan di Kilometer 18, Jalan Semporna-Tawau, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira 3 petang itu, Nordania Dalisha meninggal dunia di tempat kejadian manakala bapanya Mohd Razalie Hajal Lajim, 30, dan isterinya Mariana Abdul Hana, 27, cedera parah dan kini dirawat di Hospital Semporna.

Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Affendy K Ramin berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 3.10 petang dan lapan anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Bomba menerima laporan berlaku kemalangan membabitkan tiga kenderaan iaitu Proton Waja dinaiki mangsa, Proton Saga FLX dan sebuah bas mini persiaran.

“Setiba di lokasi, ada seorang bayi perempuan meninggal dunia dan dua mangsa cedera parah bersama lima lagi mangsa lain yang cedera ringan. Semua mereka dikeluarkan orang awam dari kenderaan masing-masing," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut Mohd Affendy, semua mangsa dibawa ke hospital berhampiran oleh orang awam untuk rawatan dan bomba hanya melakukan operasi pemantauan di kawasan berkenaan.

BAYI MAUT DALAM KEMALANGAN NGERI RAGUT LIMA NYAWA DI KUANTAN


Seorang pemandu, dua penumpang kereta dan dua penunggang motosikal maut dalam tiga nahas berasingan di daerah Pekan, Kuantan dan Temerloh, kelmarin.

Kesemua mangsa termasuk seorang bayi dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang penunggang disahkan meninggal dunia ketika dirawat di sebuah klinik kesihatan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Negeri, Superintendan Mohd Noor Yusoff Ali berkata, kemalangan pertama di Kilometer 10,  Jalan Pekan-Rompin berhampiran Sungai Miang, Pekan, kelmarin mengorbankan seorang pemandu kereta dan dua penumpang termasuk bayi.

Menurutnya, kereta jenis Naza Sutera dinaiki, dipercayai lima sekeluarga itu bertembung dengan sebuah kereta jenis Proton Preve yang terbabas ketika melalui laluan berselekoh di lokasi.

Katanya, dalam kemalangan kira-kira jam 11 pagi itu, pemandu kereta jenis Naza Sutera, Ruslan Musa, 42, bersama dua penumpang termasuk seorang bayi meninggal dunia di tempat kejadian.

Sementara itu, dua lagi penumpang, Nurul Firdaos Abdullah, 28,  dan  Nur Aieshah Qalysha  Ruslan,7, cedera ringan.

Beliau berkata,  pemandu kereta  jenis Proton Preve yang turut terbabit, Mohd Firdaus  Yusuf,  28 yang bertugas sebagai guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Johor Jaya, Johor  hanya lebam di bahagian perut.

“Semua mangsa yang maut dihantar ke Hospital Pekan untuk bedah siasat sebelum jenazah dituntut keluarga,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, seorang pekerja kedai tayar maut selepas motosikal ditunggang, terbabas melanggar besi penghadang jalan di Kilometer 15, Jakan Kuantan-Pekan berhampiran Indera Sempurna di sini, malam kelmarin.

Mohd Noor berkata, dalam kemalangan kira-kira jam 9.30 malam itu, Amrie Manan, 20 dari Perkampungan Orang Asli Sg Soi di sini cedera parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Nasib sama dialami seorang penunggang apabila dia maut setelah terjatuh dari motosikal ditunggang akibat hilang kawalan gara-gara tayar depan pecah dalam kejadian di Kilometer 157 Jalan Kuantan- Kuala Lumpur dekat  Lanchang, Temerloh awal pagi semalam.

Dalam kemalangan kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, mangsa, Wan Mohamad Firdaus  Wan Zazali, 19 dari Kampung Kenangan, Lanchang cedera parah di kepala dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan awal di Klinik Kesihatan Lanchang.

Mohd Noor berkata, siasatan awal mendapati, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 125Z bersendirian dari rumahnya di Kampung Kenangan untuk keluar  makan di Pekan Lanchang.

Menurutnya, apabila tiba di tempat kejadian,  motosikal ditunggang, hilang kawalan dipercayai disebabkan tayar hadapan pecah menyebabkan mangsa jatuh di tengah jalan sebelum terseret.

“Mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Lanchang sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya.

TUJUH SEKELUARGA MAUT ANGKARA LORI LIMA TAN


Tujuh sekeluarga maut, lapan cedera dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) KESEDAR Renok, di sini, awal pagi tadi.

Berdasarkan maklumat awal yang diterima, kemalangan pada 1.30 pagi itu mengorbankan pemandu dan penumpang kereta Perodua Myvi.

Difahamkan, kejadian dipercayai berpunca daripada lori lima tan yang datang dari arah Kuala Krai hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan Perodua Myvi itu.

Sebuah lagi Perodua Myvi dan Perodua Alza terbabit dalam kemalangan itu. Mangsa yang maut dan cedera dihantar ke Hospital Gua Musang (HGM), di sini


DUA SAHABAT MAUT MOTOSIKAL YANG DINAIKI REMPUH TIANG LAMPU


Dua sahabat maut apabila motosikal dinaiki terbabas dan melanggar tiang lampu dalam kejadian kira-kira jam 12.45 tengah malam tadi, di Jalan Sungai Udang, di sini.

Difahamkan mangsa Khairul Anuar Zulkifli, 21, dari Taman Indah, Sungai Udang, di sini, menunggang motosikal EX5 mengambil rakannya Muhammad Bukharie Wahab di Taman Terendak Permai, Sungai Udang, di sini, untuk keluar minum bersama.

Bagaimanapun, apabila tiba di lokasi kejadian, motosikal dinaiki dipercayai terbabas sebelum melanggar tiang lampu di kiri jalan lalu meninggal dunia.

Sumber polis berkata, kejadian berlaku ketika mangsa dari arah lampu isyarat Petronas Sungai Udang ke persimpangan Sungai Udang.

ISTERI MAUT TERSUSUK BESI PENGHADANG JALAN


Wanita maut manakala suami dan anaknya cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabit kemalangan di Kilometer 83, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, dekat Kampung Batu 5, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam tadi, Nur Madihah Mohd, 22, yang parah di kepala dan badan meninggal dunia di tempat kejadian.

Kemalangan itu dipercayai berlaku apabila kereta dipandu Muhammad Syahir Muhammad Syafiq Chandran, 21, terbabas ke kiri jalan selepas menuruni bukit di situ.

Berikutan itu, kereta terbabit melanggar besi penghadang jalan menyebabkan besi itu menembusi kereta sebelum tertusuk ke badan mangsa yang duduk di sebelah pemandu.

Jenazah Nur Madihah yang bekerja di kedai makan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun kemudiannya dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut.

Muhammad Syahir dan anaknya Muhammad Naufal, 2, yang cedera dibawa ke hospital sama untuk menerima rawatan.

Ketika kejadian, tiga beranak terbabit dalam perjalanan ke rumah mereka di Kampung Limbong, Paka, selepas membeli barangan dapur di Bandar Dungun.

Ketua Polis daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacub ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Katanya, sepasukan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Dungun terpaksa dipanggil bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.

BAPA MAUT ANAK SELAMAT KERETA PUTUS DUA


Seorang lelaki maut setelah kereta dipandunya terlibat Kemalangan jalan raya melibatkan dua buah kereta jenis Toyota Corolla dan Proton Iswara di Kilometer 8, Jalan Dabong Kuala Balah dekat Kampung Bukit Bedak, kira-kira jam 4 petang tadi.

Mangsa, Mansor Idris, 48, yang tersepit di tempat duduk pemandu maut di tempat kejadian sementara anak perempuan berusia 24 tahun cedera ringan.

Perlanggaran turut menyebabkan kereta dipandu mangsa terputus dua.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Abdullah Roning  berkata, hasil siasatan awal mendapati kereta jenis Toyota Corolla dipandu mangsa dari arah Dabong ke Kuala Balah hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan.

Menurutnya, kenderaan dipandu mangsa kemudiannya melanggar kereta Proton Iswara di laluan bertentangan.

"Kejadian merupakan kes pertama kemalangan maut di Kuala Krai selepas Ops Selamat dilancarkan, kelmarin.

"Pemandu kereta yang terlibat kemalangan dengan mangsa patah paha menerima rawatan di Hospital Jeli,"katanya kepada Sinar Harian.

Kes disiasat  dibawah Seksyen  41 (1) Akta Pengangkutan Jalan ( APJ)  1987.

Siasatan lanjut berhubung kejadian masih diteruskan.