MAUT AKIBAT TERPEROSOK DI BAWAH JEJAMBAT KONKRIT DI LEBUHRAYA KARAK


LAPORAN KEMALANGAN MAUT : Timbalan Ketua Balai Polis Salak Selatan maut selepas kereta dipandu terbabas dan terperosok ke dalam longkang konkrit di Kilometer 65 Lebuhraya KL-Karak.

Dalam kejadian 3.30 petang itu, mangsa, Sub Inspektor Mansor Buman, 59, dalam perjalanan ke Kuala Lumpur.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang Superitendan Mohamad Noor Yusuf Ali berkata, hasil siasatan awal mendapati kereta dipandu mangsa terbabas ke bahu jalan sebelum melanggar konkrit longkang berkenaan.

"Akibat pelanggaran itu, kereta dipandu remuk teruk di bahagian depan dan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Bentong untuk dibedah siasat. Kemalangan disiasat Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Mangsa pernah bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi sebelum dilantik menjadi Timbalan Ketua Balai Polis Salak Selatan.

0 comments: