SUAMI TAK PERASAN ISTERI DAN ANAK MELAYANG JATUH GAUNG


Tiada yang lebih menyayat hati seorang suami apabila melihat nyawa isteri dan bayi lelaki comel kesayangannya mela­yang di depan mata selepas terjatuh dari cerun setinggi 20 meter.


Itu yang dapat digambarkan mengenai perasaan Mohamad Azmeer Alfaiedz Abd. Aziz, 32, selepas isteri bersama anaknya berusia tujuh bulan maut terlibat dalam satu nahas ngeri di Jalan Bukit Permai, Taman Bukit Permai, Cheras di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 9.50 pagi itu, Mohamad Azmeer Alfaiedz bersama isterinya, Norzaimah Azizi, 29, menaiki motosikal sambil mendukung anak mereka, Eshan sebelum terbabas dan melanggar tembok di kiri jalan berkenaan.

Difahamkan kesemua mereka dalam perjalanan dari Bukit Permai menghala ke Ampang dekat sini menaiki motosikal Modenas Ace 115.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pandan Indah, Skein Citbanchong memaklumkan kejadian itu disedari orang awam yang melihat Norzaimah dan anaknya terjatuh dari cerun.

Orang ramai cuba untuk menyelamatkan mangsa tetapi usaha mereka gagal. Mangsa bersama anaknya meninggal dunia di tempat kejadian.

“Seramai tujuh orang anggota dan pegawai dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 10 pagi,” katanya ketika dihubungi di sini.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Hamzah Alias memberitahu, ke­dua-dua mangsa yang meninggal dunia selepas terjatuh menaiki motosikal itu mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

Jelasnya, jenazah kedua-dua mereka dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada anggota keluarganya untuk dikebumikan.

“Kes disiasat di ba­wah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Artikal dari Utusan Malaysia

0 comments: