SUAMI DAN DUA ANAK MAUT DALAM KEMALANGAN


Tiga beranak termasuk dua kanak-kanak maut selepas kereta dinaiki dirempuh dua kenderaan lain di Kilometer 3.5 Jalan Ipoh€“ Lumut berhampiran selekoh Puncak Jelapang Maju awal pagi tadi.

Dalam kejadian 1.15 pagi, Muhammad Syafiq Isyammuddin, 25 serta dua anaknya, kanak-kanak perempuan berusia dua tahun dan kanak-kanak lelaki berusia setahun meninggal dunia di lokasi kejadian.

Isteri mangsa berusia 28 tahun serta seorang warga emas wanita berusia 79 tahun dan seorang lelaki berusia 34 tahun turut parah.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Perak, Superintendan Wan Jamil Wan Chik berkata, dalam kejadian itu, sebuah kereta jenis Mazda yang dinaiki seorang lelaki berusia 29 bersama tiga penumpang dalam perjalanan dari Sitiawan menghala ke Ipoh.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian kereta itu dipercayai bergesel dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda dinaiki mangsa bersama empat lagi penumpang termasuk dua kanak-kanak berkenaan yang datang dari arah bertentangan.

€œSebuah lagi kenderaan jenis Toyota Camry dari arah bertentangan dipercayai cuba mengelak kenderaan mangsa namun gagal hingga mengakibatkan kenderaan Toyota Camry itu berpusing sebelum melambung dan merempuh kenderaan mangsa," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Wan Jamil berkata, akibat rempuhan itu, tiga beranak termasuk dua kanak-kanak tercampak keluar dari kenderaan sebelum disahkan maut di lokasi kejadian.

Beliau berkata, dua penumpang kenderaan pacuan empat roda dan seorang lelaki yang memandu kereta Toyota Camry serta penumpangnya cedera parah sebelum dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB)Ipoh untuk rawatan lanjut.

“€œKetiga-tiga mangsa yang meninggal dunia di lokasi kejadian dibawa ke Jabatan Forensik hospital sama untuk bedah siasat.

“€œSiasatan lanjut masih diteruskan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

BAWA LAJU HINGGA HILANG KAWALAN


SIMPANG RENGGAM : Tiga lelaki yang maut dalam kemalangan tiga kenderaan di Kilometer 9.3, Jalan Simpang Renggam - Benut di sini, malam tadi dikenal pasti sebagai pemandu Proton Wira, Abu Hanifah Hassan, 28 dan dua remaja masing-masing berusia 17 tahun, Mohamad Zulfadli Rahman yang memandu sebuah lagi Proton Wira serta penumpangnya, Muhammad Sharul Idham Md Dewa.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.50 malam, pemandu Toyota Vios yang juga terbabit dalam kemalangan ini dilaporkan tidak mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Zakaria Abd Rahman berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku dipercayai apabila kereta dinaiki dua remaja berkenaan dari arah Benut ke Simpang Renggam dipandu secara laju, melulu dan merbahayakan sehingga gagal dikawal dan terbabas ke laluan bertentangan.

"Akibat terbabas ke laluan bertentangan, kenderaan dipandu remaja 17 tahun yang juga tidak mempunyai lesen memandu melanggar bahagian penjuru belakang Toyota Vios dipandu seorang lelaki.

"Pada masa sama, kereta itu berlanggar pula dengan sebuah lagi Proton Wira yang berada di belakang Toyota Vios berkenaan.

"Kereta dua remaja itu kemudian terbabas memasuki parit yang dipenuhi air," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Pontian, Harun Rais berkata, pihaknya yang tiba di lokasi selepas menerima panggilan kecemasan seorang mangsa tersepit di tempat duduk pemandu, manakala dua lagi mangsa dari kereta yang lain tercampak keluar.

"Seorang mangsa sebuah Proton Wira tersepit di tempat duduk pemandu dan kita menyerahkannya kepada kakitangan ambulans selepas berjaya mengeluarkannya.

"Dua lagi mangsa di kenderaan lain tercampak keluar dan turut disahkan meninggal dunia," katanya.

Beliau berkata, operasi kemudian ditamatkan jam 10.29 malam.

PEMANDU BAS MAUT BAS DIPANDU REMPUH BELAKANG TRELER


Seorang pemandu maut manakala tujuh penumpang cedera ringan dalam kemalangan melibatkan sebuah bas di km 383.2 Lebuhraya Utara - Selatan, PLUS dekat Hentian sebelah Behrang,awal pagi tadi.

Bas tersebut dikatakan merempuh belakang sebuah treler. Mangsa,Nurul Yatimi Mohamed Noor, 25 tahun meninggal dunia ditempat kejadian.

GURU SMK TUN PERAK MAUT DALAM KEMALANGAN


Seorang guru maut selepas kereta dipandunya terbabas merempuh penghadang jalan di Kilometer 256 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara.

Dalam kejadian 3.10 petang itu, Mohamad Faizun Ahamad, 50, guru Sekolah Menengah Kebangsaan SMK) Tun Perak, Padang Rengas, dekat sini, yang memandu kereta jenis Proton Iriz maut di lokasi kejadian manakala isternya cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar Asisten Komisioner Ahmad Termizi Abd Haq berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari Ipoh menghala Kuala Kangsar.

Menurutnya, kereta itu dipercaya hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh besi penghadang jalan di kiri lebuh raya.

“Pemandu meninggal dunia di tempat kejadian manakala isterinya, yang juga guru SMK Raja Muda Musa Kuala Kangsar cedera dan dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk rawatan,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

BEKAS PEMAIN BOLA SEPAK TERENGGANU MAUT KEMALANGAN DI HENTIAN TITIWANGSA


Bekas pemain bola sepak Terengganu, Alfian Aziz, 36, maut manakala isteri dan dua anaknya berusia setahun dan tiga tahun, cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabit kemalangan di Kilometer 55, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) berhampiran Hentian Titiwangsa di sini, semalam.

Dalam kejadian 3.15 petang itu, mangsa bersama keluarganya menaiki Perodua Alza, dipercayai dalam perjalanan dari Alor Setar, Kedah, menuju Terengganu melalui laluan berkenaan sebelum kenderaan dinaiki hilang kawalan dan merempuh penghadang jalan.

Jurucakap Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak berkata, siasatan awal mendapati kenderaan datang dari arah Gerik menuju Jeli, Kelantan, apabila dipercayai hilang kawalan dan melanggar besi penghadang jalan.

“Besi penghadang jalan menembusi cermin hadapan kenderaan.

"Akibat kemalangan ini, pemandu dikenal pasti sebagai Alfian Aziz yang bekerja sebagai pembantu am Universiti Malaysia Terengganu, maut," katanya.

Menurutnya, penumpang depan, Zanariah Ramli @ Danial Malan, 27, suri rumah cedera di muka, manakala dua anak mereka Arysha Zahra, 3, cedera paha kiri, patah tulang pinggul serta disyaki berlaku pendarahan dalam kepala manakala Aqeef Zafran, setahun, hanya calar di dahi

"Alfian yang cedera parah meninggal dunia di Hospital Grik dan ahli keluarganya yang cedera menerima rawatan di hospital sama.

"Bedah siasat dijalankan jam 7 malam tadi dan punca kematian ialah kecederaan parah di kepala," katanya.

LELAKI MAUT JATUH MOTOSIKAL SELEPAS DISERANG SAWAN


LANGKAWI : Seorang lelaki maut akibat terjatuh ketika menunggang motosikal selepas dipercayai diserang penyakit sawan di Jalan Kuala Teriang-Padang Matsirat.

Dalam kejadian 11 pagi itu, mangsa Shahidi Saad, 45, dari Kampung Ulu Melaka, Mukim Ayer Hangat yang parah di kepala dan dada dan dihantar ke Hospital Langkawi (HL) untuk rawatan lanjut.

Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia 40 minit kemudian ketika menerima rawatan akibat kesan kecederaan yang dialami.

Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Langkawi, Asisten Superintendan Mahadhir Mohd Salleh berkata, ketika kejadian mangsa yang menunggang bersendirian dipercayai dalam perjalanan dari Kuala Teriang ke Padang Matsirat.

"Ketika sampai di tempat kejadian, mangsa yang juga seorang nelayan itu dipercayai diserang sawan menyebabkan dia gagal mengawal motosikalnya lalu terbabas ke longkang besar sebelah kiri jalan.

“Berikutan itu, mangsa terhumban ke tebing longkang dan mengalami kecederaan parah di kepala serta dada, katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

AL-FATIHAH..