NGERI TENGOK KERETA HANCUR SEBELAH


Wanita maut, dua lelaki cedera dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Kampung Lepan Anjung, Jalan Jelawang-Gua Musang, dekat Dabong.

Kejadian jam 9 pagi itu, mangsa, Nurul Nasuha Zulkefli, 23, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di badan.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai Superintendan Abdullah Roning berkata, kemalangan berlaku apabila kereta jenis Honda Civic dinaiki mangsa yang dipandu Muhammad Afif Jazimin Ibrahim, 24, dari arah Jeli ke Dabong, Kuala Krai dipercayai hilang kawalan.

Katanya, kereta mereka memasuki laluan bertentangan sebelum berlanggar dengan kereta Proton Waja yang dipandu seorang lelaki berusia 54 tahun dari arah Jelawang menghala Gua Musang.

"Akibat pelanggaran itu, mangsa maut di lokasi kejadian dan kedua-dua pemandu cedera.

"Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Kuala Krai untuk rawatan lanjut dan mangsa yang meninggal dunia dihantar ke Unit Forensik hospital sama," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

IBU MAUT ANAK PARAH NAHAS TAYAR KENDERAAN PECAH DI SLIM RIVER


SLIM RIVER : Seorang wanita maut manakala anak lelakinya berusia 10 tahun parah selepas kereta dinaiki terbabas akibat tayar belakang sebelah kiri kenderaan itu pecah dan merempuh pembahagi jalan di Kilometer 366.7 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 1.50 petang itu, Ch’ng Siew See, 48, maut di lokasi kejadian akibat parah di kepala dan beberapa bahagian badan manakala anak lelakinya, Jonathan Teoh Ming Ern, 10, putus jari kaki kiri.

Sementara suami mangsa, Teoh Cheng Eng, 48, dan anak perempuannya, Abigail Teoh Per Ern, 17, serta pembantu rumah warga Indonesia yang dikenali sebagai Yati, 32, tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Ahmad Mat Isa berkata, siasatan awal mendapati kereta Peugeot dinaiki mangsa dalam perjalanan dari Petaling Jaya menghala ke Pulau Pinang.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, tayar belakang sebelah kiri kereta itu pecah hingga mengakibatkan kereta dipandu hilang kawalan sebelum berpusing dan merempuh pembahagi jalan.

“Akibat rempuhan itu, isteri lelaki berkenaan tersepit di tempat duduk hadapan sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata, mangsa yang maut dibawa ke Bilik Mayat, Hospital Slim River untuk dibedah siasat manakala anaknya yang cedera dibawa ke hospital sama untuk rawatan lanjut.

“Siasatan diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Slim River Yussli Abd Latiff berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian jam 1.57 petang sebelum anggota bomba dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk penumpang di sebelah pemandu namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan,” katanya.

BAYI 12 BULAN ANTARA YANG MAUT DALAM KEMALANGAN DI TAMPIN


TAMPIN : Tiga sekeluarga termasuk bayi perempuan maut manakala dua parah dalam kemalangan dua kereta di Jalan Tampin-Gemas, dekat Rumah Rakyat Repah Baru, di sini, hari ini.

Mangsa yang maut adalah lelaki pemandu Proton Saga, penumpang wanita warga emas dan bayi perempuan dipercayai anak pemandu berusia kira-kira 12 bulan.

Mangsa yang parah adalah wanita penumpang Proton Saga dan lelaki pemandu Proton Persona.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Tampin Roslan Sahrani berkata, pihaknya menerima panggilan pada 3.26 petang.

Katanya, pihaknya dimaklumkan berlaku kemalangan membabitkan lima mangsa yang tersepit dalam dua kereta.

"Bomba mengambil masa kira-kira setengah jam untuk mengeluarkan semua mangsa dan dua disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Tiga yang parah termasuk bayi diserahkan kepada kakitangan ambulans untuk dikejarkan ke hospital.

“Bagaimanapun, bayi terbabit disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, identiti mangsa masih belum dikenal pasti dan semua mangsa dihantar ke Hospital Tampin.

SUAMI ISTERI MAUT ANGKARA REMPUHAN LORI MASUK LALUAN BERTENTANGAN


Dua maut manakala 13 lagi cedera dalam kemalangan membabitkan empat buah lori dan empat kenderaan lain di Kilometer 372.0 Lebuhraya Utara Selatan Plus berhampiran Slim River.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Perak, Superintendan Wan Jamil Wan Chik kejadian dipercayai berlaku kira kira jam 3.30 petang tadi apabila sebuah lori dalam perjalanan menuju ke Ipoh dari Kuala Lumpur dipercayai terbabas sebelum memasuki laluan bertentangan dan merempuh tiga buah lori dan empat kenderaan lain.

DUA BERADIK MAUT KERETA ELAK LEMBU MELINTAS


KUANTAN : Dua beradik maut dan tiga parah selepas kenderaan pacuan empat roda yang mereka naiki merempuh pembahagi jalan di kilometer 21,Jalan Kuantan-Pekan Pahang.

Dalam kejadian pukul 9 malam tadi berhampiran Kampung Ubai, pemandu kenderaan jenis Mitsubishi Pajero, Mohd.Nazri Ismail 23 tahun, hilang kawalan selepas cuba mengelak seekor lembu.

Turut terkorban ialah adiknya, Norhidayati, 18 tahun. Dua lagi adik beradik mereka serta seirang anak angkat keluarga mereka, dilaporkan parah.

BAKAL PENGANTIN MAUT KERETA PUTUS DUA BERTEMBUNG DENGAN KERETA LAIN


DUNGUN : Pasangan bakal pengantin maut apabila Proton Wira dinaiki hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum dirempuh kereta jenis sama di Kilometer 88.9, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, Dungun.

Kemalangan kira-kira jam 2 pagi itu mengorbankan Che Sukiman Che Rahim, 41, dari Felda Kerteh 6 dan tunangnya Nur Ashikin Mohamed, 23, dari Kampung Balai Besar di sini.

Kemalangan berlaku apabila Proton Wira dipandu Nur Ashikin dari arah Dungun menghala ke Paka dipercayai hilang kawalan lalu memasuki laluan kanan jalan sebelum sebuah lagi Proton Wira dari arah bertentangan yang dipandu Wan Mohd Shahzrul Azri Wan Omar, 26, merempuh bahagian kiri kenderaan pasangan berkenaan. Rempuhan itu menyebabkan kereta mangsa putus dua manakala Che Sukiman pula tercampak keluar.

Difahamkan, Wan Mohd Shahzrul yang berasal dari Kampung Merchang, Marang, parah akibat kemalangan itu dan kini dilaporkan kritikal.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Dungun Amri Mohamad berkata, sepasukan lapan anggota dengan sebuah jentera bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan berhubung kejadian. "Mayat Nur Ashikin yang tersepit di tempat duduk pemandu berjaya dikeluarkan 15 minit kemudian. 

Mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut manakala mangsa yang parah dibawa ke Hospiral Dungun," katanya.

MYVI BERSEPAI REMPUH BELAKANG LORI DI LEBUHRAYA AYER KEROH


AYER KEROH : Seorang lelaki maut manakala lapan lagi cedera termasuk empat kanak-kanak dalam kemalangan melibatkan lima kenderaan pagi tadi.

Kejadian berlaku di Kilometer 192.1, Lebuh Raya Utara Selatan arah utara dekat tol Ayer Keroh, di Jasin, Melaka.

Insiden membabitkan kenderaan MPV, Toyota Innova, Toyota Wish, Perodua Myvi, Mitsubishi Lancer dan sebuah lori membawa ayam.

Mangsa yang maut adalah pemandu perodua Myvi yang melanggar bahagian belakang lori ketika cuba mengelak tiga kenderaan lain yang terbabit dalam kemalangan awal.

Menurut seorang mangsa yang terselamat .. di kenali sebagai Mohd Yazad Juri..kemalangan itu berlaku selepas hujan. 

Mangsa yang maut dan cedera dihantar ke hospital melaka.

TIGA KANAK-KANAK MAUT TERCAMPAK KELUAR DARI MPV DI LPT2


LPT2 : Lima sekeluarga termasuk tiga kanak-kanak maut selepas kenderaan yang mereka naiki terbabas dalam kemalangan ngeri di kilometer 288.6 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) berdekatan Plaza Tol Chukai di sini hari ini.

Kemalangan sekitar 5.30 petang tadi itu turut menyebabkan lima ahli keluarga mangsa cedera parah.

Nahas dipercayai berlaku selepas tayar kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Hyundai Starex Royal yang dinaiki 10 beranak itu meletup sebelum terbabas melanggar pembahagi jalan dan merempuh tiang jejantas.

Mereka dikatakan dalam perjalanan dari Klang menuju ke Kuala Terengganu untuk bercuti.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Handry Jefry Mohd Ali berkata, kesemua mangsa kini sedang dikenalpasti. Kesemua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Kemaman oleh orang awam.

Sementara  itu, saksi kejadian, Siti Nazirah Embong, 28, berkata dia yang sedang memandu di laluan yang sama mendengar bunyi letupan kuat sebelum melihat kenderaan itu terbabas.

Kemalangan berlaku sejurus selepas kereta MPV terbabit memotong kenderaan yang dipandunya.

“Dia langgar tiang jejantas itu dan enjin tercampak keluar dan terbakar. Lepas itu kereta tergolek, terguling-guling sampailah ke kawasan ini. Masa kereta langgar tiang itu tiga orang mangsa tercampak keluar. Lepas itu baru nampak pemandu itu keluar, ikut arah pintu penumpang.

“Memang laju sangat, saya tak tahu berapa, lepas selisih dengan saya kereta sudah melanggar pembahagi jalan, nasib baik saya sempat brek,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

ANAK DAN IBU SARAT MENGANDUNG MAUT DALAM KEMALANGAN



HULU SELANGOR : Seorang wanita sarat mengandung dan anak lelakinya berusia empat tahun maut selepas kereta kancil dinaiki bertembung dengan kereta lain dalam kejadian di Jalan Kalumpang- Tanjung Malim, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 7.49 pagi itu, dua lagi mangsa yang menaiki kereta lain cedera dan dibawa ke hospital berhampiran.

Jurucakap Bomba dan Penyelamat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sebelum tiba di lokasi kejadian jam 8.04 pagi.

"Mangsa yang maut adalah seorang jururawat bernama Husnadia Abdul Razif berusia 30 tahun dan anaknya Muhammad Fayyad berusia empat tahun.

"Kedua-duanya disahkan maut dilokasi kejadian akibat kecederaan parah," katanya.