TIGA KANAK-KANAK MAUT TERCAMPAK KELUAR DARI MPV DI LPT2


LPT2 : Lima sekeluarga termasuk tiga kanak-kanak maut selepas kenderaan yang mereka naiki terbabas dalam kemalangan ngeri di kilometer 288.6 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) berdekatan Plaza Tol Chukai di sini hari ini.

Kemalangan sekitar 5.30 petang tadi itu turut menyebabkan lima ahli keluarga mangsa cedera parah.

Nahas dipercayai berlaku selepas tayar kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Hyundai Starex Royal yang dinaiki 10 beranak itu meletup sebelum terbabas melanggar pembahagi jalan dan merempuh tiang jejantas.

Mereka dikatakan dalam perjalanan dari Klang menuju ke Kuala Terengganu untuk bercuti.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Handry Jefry Mohd Ali berkata, kesemua mangsa kini sedang dikenalpasti. Kesemua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Kemaman oleh orang awam.

Sementara  itu, saksi kejadian, Siti Nazirah Embong, 28, berkata dia yang sedang memandu di laluan yang sama mendengar bunyi letupan kuat sebelum melihat kenderaan itu terbabas.

Kemalangan berlaku sejurus selepas kereta MPV terbabit memotong kenderaan yang dipandunya.

“Dia langgar tiang jejantas itu dan enjin tercampak keluar dan terbakar. Lepas itu kereta tergolek, terguling-guling sampailah ke kawasan ini. Masa kereta langgar tiang itu tiga orang mangsa tercampak keluar. Lepas itu baru nampak pemandu itu keluar, ikut arah pintu penumpang.

“Memang laju sangat, saya tak tahu berapa, lepas selisih dengan saya kereta sudah melanggar pembahagi jalan, nasib baik saya sempat brek,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

0 comments: