ANAK TRAUMA TRAGEDI RAGUT NYAWA MAK AYAH


Ketua Pegawai Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Baling bersama isterinya maut dalam kejadian kemalangan jalan raya di Kampung Teluk Teduri Jalan Kupang, di sini awal pagi tadi, manakala empat anak mereka cedera parah setelah kenderaan yang dinaiki mereka dirempuh dari bahagian belakang dan hadapan.

Mangsa yang meninggal adalah Asistan Superintenden Mohd Noor Mat Yaub, 38, dan isterinya Suriya Abdul Rahman, 37, yang juga seorang guru di Sekolah Kebangsaan Teluk Teduri.

Empat anak mereka ialah Irdina Aliah, 11, Insyirah Aliah, 10, Muhamad Adib Mustakim 8 dan Imanina Aliah, 6 tahun.

Dalam kejadian jam 7.15 pagi itu, mangsa bersama isteri sedang dalam perjalanan untuk menghantar empat anak mereka ke sekolah.

Kereta itu dipandu mangsa yang datang dari arah Baling menghala ke Kupang, dan sebaik tiba di Kampung Teluk Teduri, kenderaan mangsa berhenti untuk membelok ke kanan untuk memasuki sekolah.

Tiba-tiba sebuah kenderaan datang dari arah belakang melanggar kenderaan mangsa sehingga kereta mangsa memasuki laluan bertentangan.

Sejurus kemudian, sebuah lagi kenderaan datang dari arah hadapan telah melanggar kereta mangsa lalu mengakibatkan mangsa suami isteri tersepit di bahagian tempat duduk hadapan.

Kedua-dua mangsa maut di tempat kejadian manakala empat anak mereka yang berada di bahagian belakang mengalami cedera dan seorang daripadanya dilaporkan kritikal.

Jasad Mohd Noor dan Suriya dihantar ke Hospital Baling untuk bedah siasat, sementara empat anak mereka yang cedera di hantar ke hospital yang sama untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling Supritendan Shariffuddin Yusof mengesahkan kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jenazah ASP Mohd Noor Mat Yaub dan isterinya Suriya Abdul Rahman yang maut dalam kemalangan di Kampung Teluk Teduri, Baling, Kedah pagi tadi selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Buluh, Ipoh di sini, pukul 6.30 petang ini.

Kedua-dua jenazah yang dibawa pulang menaiki van jenazah dari Baling pada pukul 2 petang tiba di kediaman anggota keluarga Suriya pada pukul 6 petang.

Ketua Polis Daerah Baling, Supt Sharifuddin Yusof dan Ketua Polis Daerah Tanah Merah DSP Suzaimi Mohamed turut hadir pada majlis pengebumian itu.

Sementara itu, bapa Mat Yaub Puteh, 68, berkata beliau reda dengan pemergian Mohd Noor dan bersyukur kerana empat cucunya terselamat dalam kemalangan itu walaupun ada yang cedera.

Beliau berkata kali terakhir bertemu dengan arwah anak dan menantunya itu pada Jumaat lepas ketika mereka ke rumahnya di Pasir Puteh.

Menurut laporan awal Balai Bomba dan Penyelamat Baling, kejadian pukul 7.15 pagi itu berlaku apabila kereta jenis Toyota Passo yang dinaiki Mohd Noor sekeluarga sedang dalam perjalanan dari Kupang ke Baling.

Difahamkan, Mohd Noor sedang hendak menghantar isterinya, seorang guru, dan empat anak mereka ke Sekolah Kebangsaan Teluk Teduri.

DUA REMAJA MAUT MOTOSIKAL LANGGAR BELAKANG KERETA DI LORONG KECEMASAN


KAJANG : Dua penunggang maut selepas melanggar belakang kereta yang diletakkan di lorong kecemasan di Kilometer 297.6 lebuh raya Kuala Lumpur-Seremban, awal pagi tadi.

Dalam kejadian 3.30 pagi itu, empat penunggang lelaki berusia 17 hingga 25 tahun menunggang dari Kuala Lumpur menghala Seremban.

Menurut sumber, satu daripada empat motosikal berkenaan melanggar pintu belakang kanan sebuah Proton Gen 2 yang berhenti di lorong kecemasan sebelah kiri jalan untuk menukar tayar yang pecah.

Beliau berkata, akibat pelanggaran itu, motosikal yang lain tidak sempat mengelak dan berlaku pergeseran antara satu sama lain.

“Akibatnya, dua penunggang maut akibat parah di kepala manakala penumpang kereta itu parah. Mayat mangsa dan yang cedera dihantar ke Hospital Serdang,” katanya.

BAIK SERAH DIRI!!


Wanita pejalan kaki yang dilanggar lari penunggang motosikal ketika melintas di Jalan Burma, di sini, tengah hari tadi, meninggal dunia malam ini.

Mangsa Foo Swee Wah, 58, meninggal dunia ketika dirawat di zon merah wad kecemasan Hospital Pulau Pinang (HPP) jam 8.45 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid memberi amaran supaya penunggang motosikal terbabit menyerah diri kepada pihak polis.

Beliau berkata, jika tidak polis akan mengesan dan menahan penunggang terbabit yang melarikan diri selepas melanggar mangsa.

Menurutnya, kes disiasat menurut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam kejadian jam 1.20 tengah hari tadi, mangsa dilanggar ketika melintas seorang diri di laluan melintas pejalan kaki yang disediakan.

Ketika mangsa hampir sampai ke seberang jalan, tiba-tiba seorang penunggang motosikal merempuh mangsa menyebabkan mangsa terpelanting di atas jalan manakala penunggang terbabit terus melarikan diri.

KEMALANGAN NGERI RAGUT ENAM NYAWA DEKAT LEMBAH BERINGIN


Enam dipercayai sekeluarga maut dihempap treler dalam satu kemalangan di KM 402.2 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dekat Lembah Beringin.

Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor dalam satu kenyataan memaklumkan kemalangan tersebut dipercayai berpunca akibat tayar treler yang pancit, dan seterusnya hilang kawalan.

Tujuh anggota dari Balai Bomba Kuala Kubu Bharu menggerakkan operasi penyelamatan selepas menerima panggilan kecemasan 7.41 pagi tadi.


Mangsa yang maut adalah Low Wai Loon, 46, Lam Leong Choy, 76, Lam Jie Yang, 19, Wong Check Lee, 53, Lam Jie Hong, 13 dan Lam Wai Keat, 38.

Pemandu treler yang mengalami kecederaan ringan dikenali sebagai Muhammad Syahrul Nizam Anuar berusia 27 tahun.

Operasi mengeluarkan mangsa lima lelaki dan seorang wanita itu selesai 9.40 pagi tadi.

Twitter PLUS Trafik memaklumkan kesesakan berlaku di kedua-dua arah antara Tanjung Malim dan Lembah Beringin akibat kemalangan tersebut.