BAIK SERAH DIRI!!


Wanita pejalan kaki yang dilanggar lari penunggang motosikal ketika melintas di Jalan Burma, di sini, tengah hari tadi, meninggal dunia malam ini.

Mangsa Foo Swee Wah, 58, meninggal dunia ketika dirawat di zon merah wad kecemasan Hospital Pulau Pinang (HPP) jam 8.45 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid memberi amaran supaya penunggang motosikal terbabit menyerah diri kepada pihak polis.

Beliau berkata, jika tidak polis akan mengesan dan menahan penunggang terbabit yang melarikan diri selepas melanggar mangsa.

Menurutnya, kes disiasat menurut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam kejadian jam 1.20 tengah hari tadi, mangsa dilanggar ketika melintas seorang diri di laluan melintas pejalan kaki yang disediakan.

Ketika mangsa hampir sampai ke seberang jalan, tiba-tiba seorang penunggang motosikal merempuh mangsa menyebabkan mangsa terpelanting di atas jalan manakala penunggang terbabit terus melarikan diri.

LELAKI CINA MATI KENA LANGGAR KETIKA MELINTAS LEBUHRAYA DI PUCHONG


PUCHONG : Seorang lelaki maut dilanggar ketika melintas jalan di Kilometer 21.5 Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) dari arah Putrajaya menghala ke Sunway, di sini, kira-kira jam 7 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Megat Mohamad Aminuddin Megat Alias berkata, mangsa, Chong Yoke Mei, 54, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala.

"Siasatan awal mendapati mangsa melintas lebuh raya itu sebelum dilanggar sebuah kenderaan tidak diketahui.

"Kemalangan menyebabkan mangsa tercampak ke lorong paling kanan dan disahkan maut di lokasi kejadian," katanya.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang di talian 03-80713116.