KEMALANGAN MAUT MOTOSIKAL BERKUASA TINGGI DI PADANG BESAR


SEORANG kakitangan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) maut selepas motosikal berkuasa tinggi ditunggangnya merempuh kereta di Jalan Mata Ayer-Beseri, Padang Besar, Perlis, hari ini.

Dalam kejadian 5.35 petang itu, mangsa, Mohd Hendra Abidin, 34, dikatakan gagal mengawal Kawasaki Z1000 yang ditunggang dan merempuh Proton Saga yang mahu membelok ke kiri jalan.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Ghazani Abd Ghani berkata, pelanggaran itu menyebabkan mangsa tercampak ke atas jalan raya manakala motosikalnya terseret ke arah bertentangan.

"Siasatan mendapati kedua-dua kenderaan itu dari arah yang sama iaitu dari Mata Ayer. Kereta yang dipandu lelaki berusia 69 tahun memperlahankan keretanya dan memberi isyarat untuk membelok sebelum secara tiba-tiba dilanggar mangsa," katanya ketika dihubungi.

Ghazani berkata, mangsa yang berasal dari Padang Melangit, di sini, dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) untuk mendapatkan rawatan, namun meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU).

"Punca kematian mangsa belum diketahui kerana masih dibedah siasat, manakala pemandu kereta tidak mengalami kecederaan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan 1987," katanya.

NAHAS DUA PACUAN EMPAT RODA RAGUT NYAWA DUA SAHABAT


Hasrat dua sahabat untuk pergi memancing sempena cuti Hari Pekerja tidak kesampaian selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan berhampiran Bandar Cheneh Baru, Kemaman, Terengganu.

Mangsa Rosli Husin dan Safie Yusof, masing-masing berusia 20 dan 28 tahun, yang tercampak ke dalam cerun di kiri jalan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala dan anggota badan.

Kemalangan berlaku apabila sebuah kereta memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan motosikal mangsa.

Ekoran pelanggaran itu, Rosli dan Safie terjatuh ke dalam cerun berhampiran.

Pada masa sama sebuah kenderaan pacuan empat roda Ford Ranger yang dinaiki sepasang suami isteri yang berada di belakang motosikal mangsa gagal mengelak dan melanggar Toyota Harrier itu.