KEMALANGAN MAUT MOTOSIKAL BERKUASA TINGGI DI PADANG BESAR


SEORANG kakitangan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) maut selepas motosikal berkuasa tinggi ditunggangnya merempuh kereta di Jalan Mata Ayer-Beseri, Padang Besar, Perlis, hari ini.

Dalam kejadian 5.35 petang itu, mangsa, Mohd Hendra Abidin, 34, dikatakan gagal mengawal Kawasaki Z1000 yang ditunggang dan merempuh Proton Saga yang mahu membelok ke kiri jalan.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Ghazani Abd Ghani berkata, pelanggaran itu menyebabkan mangsa tercampak ke atas jalan raya manakala motosikalnya terseret ke arah bertentangan.

"Siasatan mendapati kedua-dua kenderaan itu dari arah yang sama iaitu dari Mata Ayer. Kereta yang dipandu lelaki berusia 69 tahun memperlahankan keretanya dan memberi isyarat untuk membelok sebelum secara tiba-tiba dilanggar mangsa," katanya ketika dihubungi.

Ghazani berkata, mangsa yang berasal dari Padang Melangit, di sini, dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) untuk mendapatkan rawatan, namun meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU).

"Punca kematian mangsa belum diketahui kerana masih dibedah siasat, manakala pemandu kereta tidak mengalami kecederaan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan 1987," katanya.

0 comments: