BAYI 12 BULAN ANTARA YANG MAUT DALAM KEMALANGAN DI TAMPIN


TAMPIN : Tiga sekeluarga termasuk bayi perempuan maut manakala dua parah dalam kemalangan dua kereta di Jalan Tampin-Gemas, dekat Rumah Rakyat Repah Baru, di sini, hari ini.

Mangsa yang maut adalah lelaki pemandu Proton Saga, penumpang wanita warga emas dan bayi perempuan dipercayai anak pemandu berusia kira-kira 12 bulan.

Mangsa yang parah adalah wanita penumpang Proton Saga dan lelaki pemandu Proton Persona.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Tampin Roslan Sahrani berkata, pihaknya menerima panggilan pada 3.26 petang.

Katanya, pihaknya dimaklumkan berlaku kemalangan membabitkan lima mangsa yang tersepit dalam dua kereta.

"Bomba mengambil masa kira-kira setengah jam untuk mengeluarkan semua mangsa dan dua disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Tiga yang parah termasuk bayi diserahkan kepada kakitangan ambulans untuk dikejarkan ke hospital.

“Bagaimanapun, bayi terbabit disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, identiti mangsa masih belum dikenal pasti dan semua mangsa dihantar ke Hospital Tampin.

0 comments: