IBU MAUT ANAK PARAH NAHAS TAYAR KENDERAAN PECAH DI SLIM RIVER


SLIM RIVER : Seorang wanita maut manakala anak lelakinya berusia 10 tahun parah selepas kereta dinaiki terbabas akibat tayar belakang sebelah kiri kenderaan itu pecah dan merempuh pembahagi jalan di Kilometer 366.7 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 1.50 petang itu, Ch’ng Siew See, 48, maut di lokasi kejadian akibat parah di kepala dan beberapa bahagian badan manakala anak lelakinya, Jonathan Teoh Ming Ern, 10, putus jari kaki kiri.

Sementara suami mangsa, Teoh Cheng Eng, 48, dan anak perempuannya, Abigail Teoh Per Ern, 17, serta pembantu rumah warga Indonesia yang dikenali sebagai Yati, 32, tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Ahmad Mat Isa berkata, siasatan awal mendapati kereta Peugeot dinaiki mangsa dalam perjalanan dari Petaling Jaya menghala ke Pulau Pinang.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, tayar belakang sebelah kiri kereta itu pecah hingga mengakibatkan kereta dipandu hilang kawalan sebelum berpusing dan merempuh pembahagi jalan.

“Akibat rempuhan itu, isteri lelaki berkenaan tersepit di tempat duduk hadapan sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata, mangsa yang maut dibawa ke Bilik Mayat, Hospital Slim River untuk dibedah siasat manakala anaknya yang cedera dibawa ke hospital sama untuk rawatan lanjut.

“Siasatan diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Slim River Yussli Abd Latiff berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian jam 1.57 petang sebelum anggota bomba dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk penumpang di sebelah pemandu namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan,” katanya.

PELAJAR KOLEJ MAUT KERETA YANG DINAIKI HILANG KAWALAN


LAPORAN KEMALANGAN MAUT : “Sebelum ini, arwah beritahu dia bermimpi gigi bapanya luruh (tanggal), tak sangka ia petanda sebelum dia pergi buat selama-lamanya,” kata Roshilah Hashim, 50-an, ibu kepada Yushazliyana Yusof, 19, yang meninggal dunia selepas kereta dinaiki terbabas di Kilometer 120, Lebuhraya Utara-Selatan menghala selatan, dekat sini, awal pagi semalam.

Menurut Roshilah, anak bongsu daripada empat beradik itu keluar rumah jam 1.30 pagi untuk menghantar barangan dipesan pelanggan.

“Ini kerana, arwah yang belajar di sebuah kolej di Sungai Petani, Kedah berniaga secara dalam talian. Dia minat berniaga dan menjual jam,” katanya di Hospital Kepala Batas (HKB).

Dalam kemalangan jam 2 pagi itu, Yushazliyana yang juga penuntut bidang Pengurusan Perniagaan meninggal dunia di lokasi akibat parah pada badan selepas Proton Saga dinaiki bersama dua rakan terbabas dipercayai akibat jalan licin sebelum terbalik ke dalam longkang di kiri lebuh raya.

Mangsa tercampak sejauh 70 meter manakala dua rakannya parah dan dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk rawatan.

Ketika kejadian, beberapa pengguna berlindung daripada hujan di bawah jejantas sebelum menyaksikan kereta dinaiki mangsa terbabas.

Roshilah yang tinggal di Taman Ria Jaya, Sungai Petani berkata, arwah cemerlang dalam akademik dan rajin mencari wang sendiri.

“Arwah tidak suka menyusahkan keluarga sebaliknya berusaha mencari wang sendiri dengan berniaga.

“Dia tidak meninggalkan sebarang pesan sebelum keluar rumah malam tadi (semalam) tetapi beberapa hari lalu, dia beritahu bermimpi mengenai gigi bapanya luruh,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Asisten Komisioner Azmi Adam ketika dihubungi mengesahkan kejadian terbabit.