SEORANG SELAMAT SEORANG LAGI RENTUNG


Perjalanan dua saudara dari Johor Bahru ke Klang, Selangor berakhir dengan kemalangan ngeri di Kilometer 246.3, Lebuh Raya Utara-Selatan (arah utara) ber­hampiran susur keluar Plaza Tol Pedas-Linggi, dekat sini hari ini.


Dalam nahas kira-kira pukul 5.30 pagi itu, kerani di sebuah syarikat per­kapalan di Johor Bahru, Nurul Aida Ibrahim, 30, maut selepas kereta Pe­rodua Kenari yang dipandunya terbabas dan terbalik sebelum terbakar.

Sepupunya, Syazila Zailani, 30, yang bekerja di sebuah kilang di Shah Alam, Selangor bernasib baik kerana sempat keluar dari kende­raan itu tetapi patah kaki dan mengalami luka dalaman.

Kejadian itu berlaku kira-kira 12 kilometer dari lokasi nahas yang mengorbankan dua remaja di Kilometer 234.9, lebuh raya sama malam kelmarin dan sembilan kilometer dari tempat kemalangan maut yang mengorbankan seorang pemandu van di Kilometer 237.9, Ahad lalu.

Ketua Polis daerah, Asisten Ko­misioner Muhamad Zaki Harun ber­kata, Nurul Aida maut selepas gagal keluar dari kenderaan dipercayai akibat tersepit.

Menurutnya, mayat mangsa ha­nya dikeluarkan oleh pihak bomba selepas api dipadamkan.

“Mayat Nurul Aida dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini untuk dibedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga dan dikebumikan di Kampung Sungai Sudah, Muar, Johor.

Syazila turut menerima rawatan di hospital sama.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Mohd. Fuad Majid berkata, pasukan penyelamat dengan kekuatan sembilan anggota dan dua jentera ber­usaha memadam kebakaran bagi menyelamatkan mangsa.

0 comments: