Bekas pemain bola sepak Terengganu, Alfian Aziz, 36, maut manakala isteri dan dua anaknya berusia setahun dan tiga tahun, cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabit kemalangan di Kilometer 55, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) berhampiran Hentian Titiwangsa di sini, semalam.
Dalam kejadian 3.15 petang itu, mangsa bersama keluarganya menaiki Perodua Alza, dipercayai dalam perjalanan dari Alor Setar, Kedah, menuju Terengganu melalui laluan berkenaan sebelum kenderaan dinaiki hilang kawalan dan merempuh penghadang jalan.
Jurucakap Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak berkata, siasatan awal mendapati kenderaan datang dari arah Gerik menuju Jeli, Kelantan, apabila dipercayai hilang kawalan dan melanggar besi penghadang jalan.
“Besi penghadang jalan menembusi cermin hadapan kenderaan.
"Akibat kemalangan ini, pemandu dikenal pasti sebagai Alfian Aziz yang bekerja sebagai pembantu am Universiti Malaysia Terengganu, maut," katanya.
Menurutnya, penumpang depan, Zanariah Ramli @ Danial Malan, 27, suri rumah cedera di muka, manakala dua anak mereka Arysha Zahra, 3, cedera paha kiri, patah tulang pinggul serta disyaki berlaku pendarahan dalam kepala manakala Aqeef Zafran, setahun, hanya calar di dahi
"Alfian yang cedera parah meninggal dunia di Hospital Grik dan ahli keluarganya yang cedera menerima rawatan di hospital sama.
"Bedah siasat dijalankan jam 7 malam tadi dan punca kematian ialah kecederaan parah di kepala," katanya.
0 comments: