Misteri kehilangan seorang pelajar dan tiga ahli keluarganya yang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur untuk mengambil keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terjawab apabila mayat kesemua mereka ditemukan rentung di dalam sebuah kereta Honda Accord yang tersepit di tepi sebuah treler yang musnah terbakar.
Mayat Aizat Mohd. Azhar, 18: bapa, Mohd. Azhar Abd. Rahim, 43: adik, Muhammad Daniel, 13, serta neneknya, Rosemani Abdul Ghani, 65, yang juga kakak kepada Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Sharifuddin Abdul Ghani ditemukan di Kilometer 265, Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah selatan selepas Terowong Menora, kira-kira pukul 11 pagi.
Kesemua mayat hanya ditemukan selepas 34 jam kemalangan berlaku iaitu kira-kira pukul 1 pagi semalam disebabkan keterangan daripada pemandu dan kelindan treler yang mendakwa kenderaan mereka terbabas sendiri di tempat kejadian sebelum terbakar tanpa melibatkan perlanggaran dengan kenderaan lain.
Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, empat mayat mangsa ditemukan ketika kerja-kerja mengalihkan treler berkenaan menggunakan kren pada pukul 11 pagi ini. Menurutnya, penemuan mayat di dalam kereta itu tidak diduga kerana sebelum ini pemandu treler berusia 35 tahun dan kelindannya yang berusia 29 tahun mendakwa tidak berlanggar dengan kenderaan lain.
“Malah pegawai penyiasat, anggota PLUS dan bomba yang datang ke lokasi kemalangan juga tidak melihat apa-apa pelanggaran melibatkan kenderaan lain, sebaliknya hanya treler yang terbabas sendiri, melanggar tembok dan terbakar,” katanya di sini hari ini.
Kesemua mangsa itu dikatakan gagal dikesan setelah bertolak dari kediaman Mohd. Azhar di Merbok, Kedah kelmarin untuk bermalam di rumah salah seorang ahli keluarga mereka di Setia Alam, Selangor sebelum mengambil keputusan SPM Aizat di Maktab Tentera Diraja (MTD), Sungai Besi, Kuala Lumpur, semalam. Mohd. Azhar merupakan juruteknik komputer di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Merbok.
Laporan polis mengenai kehilangan mereka telah dibuat oleh datuk mangsa, Abdul Rahim Talib di Kuala Terengganu, Terengganu iaitu tempat tinggal Aizat sekarang. Menurut Chang Keong, ekoran penemuan mayat tersebut polis akan mendapatkan semula keterangan daripada pemandu dan kelindan treler terlibat untuk siasatan lanjut.
Kata beliau, pihaknya akan merakam percakapan lanjut dari pemandu treler dan kelindan kerana ketika kemalangan tiada saksi yang nampak kejadian tersebut. Katanya, kereta Honda Accord yang ditemukan di tepi treler tersebut pada awalnya sukar dikenal pasti jenisnya kerana telah remuk keseluruhan selain nombor plat yang pecah. “Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Mayat empat sekeluarga itu dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini untuk bedah siasat,” katanya.
0 comments: