BUKIT KATIL : Seorang jururawat lelaki tidak sempat pulang ke rumah apabila dia maut selepas motosikal berkuasa tinggi ditungganginya berlanggar dengan sebuah kereta di Jalan Tun Kudu di sini, malam kelmarin.
Mangsa, Afiq Azani Abdullah, 22, yang baru selesai bekerja di Hospital Pantai di sini, dalam perjalanan pulang ke rumah di Merlimau, Jasin sebelum motosikalnya melanggar kereta jenis Proton Satria Neo, dalam kejadian kira-kira 10.30 malam.
Afiq Azani yang menunggang motosikal jenis Kawasaki Ninja 250cc dikatakan datang dari arah persimpangan lampu isyarat Tun Kudu menghala persimpangan Jalan Ayer Molek / Jasin, sebelum melanggar kereta dipandu seorang wanita berusia 31 tahun.
Saksi kejadian, Mohd Rashid Samad, 59, berkata, dia menyaksikan kejadian itu ketika sedang duduk berehat di halaman rumahnya yang bertentangan dengan sebuah kedai makan.
Menurutnya, kereta dinaiki dua wanita itu baru keluar dari kedai tersebut.
“Kereta dari bahu jalan masuk ke laluan menghala Ayer Molek. Kereta dipercayai hendak masuk simpang dekat rumah saya ini, sebab nak buat U turn. Memang biasa orang lalu buat U turn di sini.
“Ketika muncung kereta dah nak masuk laluan bertentangan, mereka berlanggar. Motor yang datang dari arah sama dan sedikit menuruni bukit dah masuk laluan bertentangan juga,” katanya.
Menurutnya, kedudukan motosikal dipandu Afiq Azani seolah-olah mahu mengelak kereta itu, namun mangsa dikatakan melambung kira-kira 5 meter dan motosikal tercampak 10 meter ke depan.
“Saya tak tengok keadaan mangsa tapi anak lelaki saya cakap mangsa masih bernyawa dan sempat anak saya memimpin dia mengucap syahadah sebelum pergi,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah mengesahkan menerima laporan kejadian.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
0 comments: