BAYI MAUT DALAM KEMALANGAN NGERI RAGUT LIMA NYAWA DI KUANTAN


Seorang pemandu, dua penumpang kereta dan dua penunggang motosikal maut dalam tiga nahas berasingan di daerah Pekan, Kuantan dan Temerloh, kelmarin.

Kesemua mangsa termasuk seorang bayi dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang penunggang disahkan meninggal dunia ketika dirawat di sebuah klinik kesihatan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Negeri, Superintendan Mohd Noor Yusoff Ali berkata, kemalangan pertama di Kilometer 10,  Jalan Pekan-Rompin berhampiran Sungai Miang, Pekan, kelmarin mengorbankan seorang pemandu kereta dan dua penumpang termasuk bayi.

Menurutnya, kereta jenis Naza Sutera dinaiki, dipercayai lima sekeluarga itu bertembung dengan sebuah kereta jenis Proton Preve yang terbabas ketika melalui laluan berselekoh di lokasi.

Katanya, dalam kemalangan kira-kira jam 11 pagi itu, pemandu kereta jenis Naza Sutera, Ruslan Musa, 42, bersama dua penumpang termasuk seorang bayi meninggal dunia di tempat kejadian.

Sementara itu, dua lagi penumpang, Nurul Firdaos Abdullah, 28,  dan  Nur Aieshah Qalysha  Ruslan,7, cedera ringan.

Beliau berkata,  pemandu kereta  jenis Proton Preve yang turut terbabit, Mohd Firdaus  Yusuf,  28 yang bertugas sebagai guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Johor Jaya, Johor  hanya lebam di bahagian perut.

“Semua mangsa yang maut dihantar ke Hospital Pekan untuk bedah siasat sebelum jenazah dituntut keluarga,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, seorang pekerja kedai tayar maut selepas motosikal ditunggang, terbabas melanggar besi penghadang jalan di Kilometer 15, Jakan Kuantan-Pekan berhampiran Indera Sempurna di sini, malam kelmarin.

Mohd Noor berkata, dalam kemalangan kira-kira jam 9.30 malam itu, Amrie Manan, 20 dari Perkampungan Orang Asli Sg Soi di sini cedera parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Nasib sama dialami seorang penunggang apabila dia maut setelah terjatuh dari motosikal ditunggang akibat hilang kawalan gara-gara tayar depan pecah dalam kejadian di Kilometer 157 Jalan Kuantan- Kuala Lumpur dekat  Lanchang, Temerloh awal pagi semalam.

Dalam kemalangan kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, mangsa, Wan Mohamad Firdaus  Wan Zazali, 19 dari Kampung Kenangan, Lanchang cedera parah di kepala dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan awal di Klinik Kesihatan Lanchang.

Mohd Noor berkata, siasatan awal mendapati, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 125Z bersendirian dari rumahnya di Kampung Kenangan untuk keluar  makan di Pekan Lanchang.

Menurutnya, apabila tiba di tempat kejadian,  motosikal ditunggang, hilang kawalan dipercayai disebabkan tayar hadapan pecah menyebabkan mangsa jatuh di tengah jalan sebelum terseret.

“Mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Lanchang sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya.

0 comments: