SUAMI ISTERI DI TEMUI RENTUNG DALAM KERETA VIVA


JOHOR : Suami isteri mati rentung dalam kemalangan di Batu 23, Jalan Kota Tinggi-Mersing dekat Felda Sungai Ara.

Dalam kejadian 5.30 pagi itu, Mohd Farid Tumpang, 25, dan dan isteri, Suzana Jumri, 32, maut apabila Perodua Viva dinaiki terbakar.

Difahamkan kereta malang itu terlebih dahulu terbabit kemalangan dengan Nissan Cefiro sebelum terbakar.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi, Jaafar Mahmod berkata, pihaknya menerima panggilan pada 5.52 pagi.

Sebuah jentera bersama tujuh anggota dikejarkan ke lokasi dan mendapati Perodua Viva terbakar 100 peratus.

Pemeriksaan mendapati terdapat dua mayat rentung di dalam berkenaan. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat. Sementara itu, pemandu Nissan Cefiro cedera ringan akibat kemalangan itu.

PENUNGGANG MOTOSIKAL PUTUS DUA BERTEMBUNG MPV


JOHOR : Lelaki maut selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Yahya Awal di sini, hari ini. Dalam kemalangan 9 pagi itu, mangsa yang bekerja di hotel di Singapura maut dalam keadaan ngeri apabila badannya terputus dua.

Timbalan Ketua Polis Daerah II Johor Bahru Selatan, Superintendan M Kumar berkata, mangsa yang berusia 28 tahun itu maut di lokasi kejadian.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal dalam perjalanan dari Jalan Hutan Bandar di sini menuju ke Jalan Lingkaran Dalam, gagal mengawal motosikalnya.

"Akibat kegagalan mengawal motosikal ditungganginya, mangsa kemudian masuk ke laluan bertentangan yang mana ketika itu datang kenderaan pelbagai guna (MPV) yang tidak sempat mengelak, lalu bertembung dengan motosikal mangsa.

"Akibat pertembugan itu, mangsa maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah badannya terputus dua," katanya.

Menurutnya, kes masih disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

14 MAUT BAS EKSPRES TERBANG MASUK GAUNG LANGGAR TEMBOK KONKRIT DI PAGOH


PAGOH : Seramai 13 mangsa disahkan maut dalam satu kemalangan melinbatkan sebuah bas ekspress di Pagoh, di sini, kira-kira jam 3 pagi tadi.

Timbalan Pengarah dan Ketua Zon 4 (Muar), Johar Tumin berkata bas berkenaan yang membawa 30 penumpang termasuk seorang pemandu dilaporkan terbabas ke dalam curam.

"Melibatkan sebuah bas ekspress telah terbabas ke dalam curam sedalam 20 kaki.

"Jumlah mangsa yang disahkan meninggal oleh hospital ialah 13 orang termasuk pemandu dan seorang kanak-kanak.

"Manakala 17 mangsa yang lain cedera," katanya.

Operasi  tamat sepenuhnya jam 7.10 pagi ini.


SAKSI terawal kejadian tragedi bas ekpress yang mengorbankan 14 nyawa di Kilometer 137.2  arah utara awal pagi tadi memaklumkan bas berkenaan 'terbang' sebelum terjunam ke sisi lebuh raya.

Ahmad Fahmi Khairuddin, 19, yang tinggal di Kampung Jayor kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian bersama tiga rakannya berada di luar rumah ketika kejadian berlaku.

"Saya baru habis main Saidina, dah nak masuk dalam sebelum terlihat ada bas yang meluru laju dan bergesel tiang letrik dan melanggar tembok sebelum terjunam di jalan kampung.

"Saya dan rakan terus ke lokasi kejadian dan mendengar jeritan dan mangsa meminta tolong, kami cuba beri bantuan awal tetapi keadaan amat gelap," katanya.

Dalam kejadian jam 3.45 pagi itu mengorbankan 14 nyawa daripada 30 penumpang bas ekpress yang dalam perjalanan dari Johor Bahru- Kuala Lumpur.

Hasil siasatan awal polis mendapati bas dipercayai dipandu laju lalu terjunam ke dalam curam sedalam kira-kira 10 meter sebelum merempuh benteng konkrit terowong di Kampung Jayo.

Larang bas ekspres beroperasi 'waktu mengantuk'

Kemalangan yang membabitkan bas ekspres yang meragut banyak nyawa tetapi seperti biasa tiada usaha serius dilakukan untuk memastikan perjalanan lebih selamat dan nampaknya tragedi yang berlaku pada masa lalu tidak dijadikan iktibar.

Inilah kesimpulan pahit yang dapat dirumuskan susulan nahas awal pagi tadi di Km137.3 Lebuh Raya Utara-Selatan di Kampung Jayor di Muar apabila sebuah bas ekspres dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dari Johor Bahru hilang kawalan lalu terjunam ke dalam curam sedalam 10-meter, mengorbankan 14 orang dan 16 yang lain cedera.

Tragedi menjelang sambutan Krismas ini adalah satu daripada tragedi yang berlaku dari semasa ke semasa dalam dekad lalu yang mengorbankan banyak nyawa terutama semasa musim perayaan apabila permintaan bagi pengangkutan awam biasanya melonjak tinggi.

 Situasi yang menyelubungi nahas adalah serupa iaitu kemalangan berlaku pada awal pagi apabila sistem tubuh badan kita "memberi isyarat' bahawa seseorang perlu tidur waktu itu dan bukan berada di jalan raya.

Jika kenderaan individu yang biasanya membawa hanya pemandu atau seorang atau dua penumpang, nahas itu mungkin kurang kritikal tetapi bagi bas ekspres yang membawa berpuluh-puluh penumpang, sudah tiba masanya pihak berkuasa mengkaji secara serius untuk tidak membenarkan bas ekspres melakukan perjalanan pada waktu itu yang saya sifatkan sebagai "waktu tidak sesuai".

Hakikat bahawa nahas terbaru ini berlaku pada pukul 3.30 pagi jelas menunjukkan bahawa tertidur semasa memandu atau kurang tidur ialah kemungkinan punca nahas tetapi dalam kes ini, pemandu bas tidak dapat memberitahu kepada polis apa yang sebenarnya berlaku kerana dia juga terkorban.

Dan pada waktu yang biasanya waktu tidur itu, seseorang boleh membuat andaian bahawa kebanyakan penumpang, jika tidakpun semua sedang nyenyak tidur.

Tertidur ketika memandu atau kurang tidur ialah isu yang jarang dibincangkan pada forum awam mengenai keselamatan jalan raya atau semasa kempen keselamatan

jalan raya di Malaysia tetapi saya membuat andaian dalam kes ini bahawa ia punca utama kematian yang semakin meningkat di jalan raya.

Fenomena ini membabitkan mengendalikan kenderaan bermotor dalam keadaan "tidak berjaga" sepenuhnya kerana kekurangan tidur atau tidak cukup tidur yang boleh menjejaskan otak manusia seperti juga alkohol.

Kurang tidur telah terbukti menjejaskan keupayaan pemanduan dalam tiga situasi iaitu menganggu penyelarasan, mengambil masa yang lebih lama untuk tindak balas dan menjejaskan pertimbangan walaupun mengantuk hanya untuk beberapa saat sahaja.

Di Amerika Syarikat, kira-kira 250,000 pemandu tertidur semasa memandu setiap hari, dan fenomena ini ialah faktor yang menjadi punca lebih 100,000 kemalangan berlaku setiap tahun yang menyebabkan lebih 1,500 kematian dan 40,000 kecederaan.

Setahu saya, walaupun sebilangan besar kenderaan berada di lebuh raya semasa "waktu mengantuk" ini, tiada dapatan kaji selidik yang dikeluarkan mengenai perkara ini ataupun jika kaji selidik seumpama itu memang telah dijalankan.

Di Amerika Syarikat, dianggarkan antara 16 peratus dan 60 peratus daripada semua kemalangan berpunca daripada kurang tidur dan kemalangan yang berkaitan kemungkinan besar berlaku pada awal pagi hingga tengah hari dan ia menjadi masalah utama di kalangan pemandu trak dan juga pemandu kenderaan tentera.

Di United Kingdom, seseorang pemandu boleh disabitkan menyebabkan kematian dengan memandu secara berbahaya jika pihak pendakwa dapat membuktikan bahawa pemandu terbabit kekurangan tidur dan menyebabkan kematian orang lain kerana tertidur ketika memandu.

Di Malaysia, anggota polis trafik atau pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sering dilihat mengadakan sekatan jalan terutama selepas tengah malam tetapi sekatan jalan itu lebih tertumpu untuk memeriksa sama ada cukai jalan kenderaan telah tamat tempoh atau memburu suspek.

Kita juga mempunyai pelbagai papan tanda mengenai had laju dan terkini ialah  papan tanda digital mengenai kesesakan lalu lintas di jalan-jalan tertentu tetapi tiada langsung papan tanda yang memberi peringatan kepada pemandu mengenai bahaya tertidur ketika memandu.

Nahas jalan raya paling buruk di Malaysia berlaku pukul 4.20 pagi pada 13 Ogos, 2007 apabila sebuah bas ekspres, juga dalam perjalanan dari Johor Bahru, terbabas sebelum terbalik dekat Bukit Gantang di Perak, menyebabkan 20 orang maut termasuk pemandu bas.

Menurut seorang lagi pemandu iaitu V. Veeraman, pemandu bas Rohizan Abu Bakar, telah memandu sejauh 700 kilometer untuk tempoh melebihi sembilan jam dan hanya sempat berehat seketika pada hari itu.

Walaupun peraturan dua pemandu dilaksanakn, tetapi ia diketepikan dan yang peliknya menurut Veeraman, beliau sendiri nyenyak tidur apabila tragedi itu berlaku.

Dalam satu lagi nahas membabitkan bas ekspres pada 26 Disember 2009, 10 penumpang maut apabila bas terbabit merempuh tiang plaza tol Ipoh.

Pemandu bas, Mohd Kamil Rashid memberitahu polis bahawa dia mengantuk ketika nahas itu berlaku. Tetapi alasan mengantuk tidak dapat diterima bagi membela diri dan Mohd Kamil dijatuhi hukuman penjara selama empat tahun.

Walaupun banyak faktor dipersalahkan bagi kemalangan maut membabitkan bas ekspres, saya ingin mengulangi bahawa pemandu yang mengantuk adalah punca utama nahas, sama ada majikan mereka menerima hakikatnya atau tidak.

Dan ini harus mula menyedarkan pihak berkuasa keselamatan jalan raya untuk berfikir di luar kotak dan mengambil beberapa tindakan drastik dan tidak sebaliknya berpuas hati dengan "status quo" yang hanya boleh menyebabkan berlaku lagi kemalangan dan kematian.

Tetapi apakah langkah-langkah yang diambil oleh majikan pemandu bas mengenai perkara ini? Terlalu sedikit jika ada dan jika pun berbuat demikian, ia sudah terlambat.

Pihak berkuasa juga selama ini masih tidak melaksanakan peraturan mewajibkan  pemakaian tali pinggang keledar untuk penumpang bas.

Mengapa? Jika peraturan tali pinggang keledar itu yang diwajibkan telah lama dilaksanakan bagi pemandu dan penumpang kereta, tetapi mengapa peraturan itu tidak diwajibkan ke atas bas memandangkan bas membawa lebih ramai penumpang dan jika berlaku kemalangan, ramai yang terkorban seperti berlaku hari ini?

Pemakaian tali pinggang keledar boleh menyelamatkan banyak nyawa kerana dalam nahas bas, penumpang biasanya akan tercampak keluar.

Berapa banyak lagikah kemalangan yang akan berlaku, baru kita dapat melihat langkah-langkah pencegahan seperti melarang bas ekspres melakukan perjalanan semasa "waktu mengantuk" dan mewajibkan pemakaian tali pinggang keledar untuk penumpang dikuatkuasakan?

TIGA BERANAK MAUT KERETA MELAMBUNG MASUK LONGKANG


LAPORAN KEMALANGAN MAUT : Tiga sekeluarga maut manakala dua lagi mengalami cedera parah dalam kemalangan di Kilometer 104.3 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara Johor.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Yong Peng, Ibnul Kasim Ahmad Abd Hamid berkata, kemalangan yang berlaku kira-kira 6.30 petang itu melibatkan sebuah kereta jenis Nissan Sentra JJT 7079 yang merempuh pembahagi jalan dan masuk ke dalam longkang.

Mangsa yang meninggal ialah sepasang suami isteri bersama anak mereka yang berusia dua tahun, sementara yang cedera parah ialah dua kanak-kanak berumur lima dan enam tahun.

Lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Yong Peng bersama sebuah jentera tiba di tempat kejadian kira-kira satu jam selepas panggilan diterima.

TRAGEDI PERGI BERAYA


LAPORAN KEMALANGAN MAUT : Tiga beradik di Taman Suria, Buloh Kasap, di sini, menjadi yatim piatu sekelip mata selepas ibu dan bapa mereka terlibat dalam kemalangan maut di Kilometer 2.5 Jalan Labis-Muar, di sini, petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Segamat, Supritendan Mohd Kamil Sukarmi berkata, kemalangan yang berlaku kira-kira 7.20 petang itu mengakibatkan Mohd Rezal Abdul Karim, 37, bersama isterinya, Rozaimah Mahmood, 41, dan anak ketiganya, Nuralisa Yasmin, 11, maut.

“Ketika kejadian, Mohd Rezal yang memandu kereta Proton Saga bersama isteri dan empat lagi anaknya dipercayai dalam perjalanan dari rumah mereka di Taman Suria, Buloh Kasap untuk pergi beraya ke rumah kenalan mereka di Labis.

“Sewaktu tiba di lokasi kejadian, sebuah pacuan emat roda jenis Mitsubishi Triton yang dipandu seorang lelaki berumur 55 tahun yang datang dari arah Muar-Labis telah masuk ke laluan bertentangan sebelum melanggar kereta yang dinaiki mangsa,” katanya.

Menurutnya, akibat perlanggaran tersebut, Mohd Rezal dan Rozaimah maut serta merta di tempat kejadian akibat tersepit di bahagian hadapan kenderaan selain mendapat kecederaan parah di bahagian kepala dan anggota badan.

Katanya, anak bongsu mangsa, Nurdurrah Khadeeja, 1, pula kritikal dan dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru (HSAJB) manakala Nuralisa meninggal dunia di Hospital Daerah Segamat (HDS) kira-kira jam 3.30 pagi sewaktu mendapat rawatan.

“Selain itu, anak sulung mangsa, Muhammad Aniq Aiman, 16, kini ditempatkan di wad biasa manakala adiknya, Muhammad Haziq Iqbal, 13, sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HDS.

“Kes disisasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan jenazah Mohd Rezal dan Rozaimah telah dituntut oleh keluarganya awal pagi ini (semalam) manakala jenzah Nuralisa sedang dibedah siasat dan akan dikebumikan hari ini,” katanya.

Sementara itu, bapa saudara Mohd Rezal, Sulaiman Badrun, 62, ketika dijumpai di Rumah Mayat HDS berkata, kali terakhir dia berjumpa keluarga tersebut adalah pada hari raya kedua di rumah ibu mertuanya di Kampung Paya Lang, di sini.

Menurutnya, kesemua mangsa juga akan dikebumikan di dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Mensudut Pindah dan mengakui masih terkejut dengan tragedi yang menimpa keluarga malang berkenaan.

“Mohd Rezal bekerja sebagai pemandu lori manakala isterinya tidak bekerja dan dia (Rezal) seorang yang mudah mesra dan peramah dan sewaktu kali terakhir saya berjumpanya, tiada sebarang perlakuan atau tanda ganjil yang ditunjukkan olehnya.

“Apa yang paling menyayat hati, anak-anak mangsa menjadi yatim piatu dan hilang tempat bergantung sekelip mata pada Syawal kelima dan saya menganggapnya sebagai takdir pada bulan mulia ini,” katanya.

Katanya, dia bersama ahli keluarga yang lain juga akan berbincang mengenai nasib terutamanya hak penjagaan anak-anak mangsa selepas ini selain akan berusaha membantu melupakan trauma yang berlaku.