ANGGOTA TENTERA MAUT DILANGGAR MPV DI KARAK


KARAK : Anggota tentera maut ketika cuba membantu mangsa kemalangan apabila dilanggar kenderaan pebagai guna (MPV) dipercayai terbabas di Kilometer 44.3 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak arah Karak, di sini, 6.30 petang tadi.

Dalam kejadian itu mangsa, Lans Koperal Khairul Anuar Zakaria, 34, dikatakan turun dari kenderaan tentera yang diletakkan di bahu jalan bagi membantu mangsa sebuah lagi MPV yang terbabas ke longkang di arah sama sebelum dia dirempuh.

Jurucakap Bomba dan Penyelamat Bentong ketika dihubungi berkata, ketika kejadian cuaca dalam keadaan gerimis sebelum kemalangan meragut nyawa anggota Tentera Darat dari Kem Mempaga, Karak itu berlaku.

"Akibat rempuhan itu mangsa maut di tempat kejadian dan mayat dihantar ke Hospital Bentong untuk bedah siasat," kata jurucakap terbabit.

Katanya, siasatan lanjut kini diserahkan kepada polis.

MAUT AKIBAT TERPEROSOK DI BAWAH JEJAMBAT KONKRIT DI LEBUHRAYA KARAK


LAPORAN KEMALANGAN MAUT : Timbalan Ketua Balai Polis Salak Selatan maut selepas kereta dipandu terbabas dan terperosok ke dalam longkang konkrit di Kilometer 65 Lebuhraya KL-Karak.

Dalam kejadian 3.30 petang itu, mangsa, Sub Inspektor Mansor Buman, 59, dalam perjalanan ke Kuala Lumpur.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang Superitendan Mohamad Noor Yusuf Ali berkata, hasil siasatan awal mendapati kereta dipandu mangsa terbabas ke bahu jalan sebelum melanggar konkrit longkang berkenaan.

"Akibat pelanggaran itu, kereta dipandu remuk teruk di bahagian depan dan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Bentong untuk dibedah siasat. Kemalangan disiasat Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Mangsa pernah bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi sebelum dilantik menjadi Timbalan Ketua Balai Polis Salak Selatan.