KEMALANGAN MAUT MOTOSIKAL BERKUASA TINGGI DI PADANG BESAR


SEORANG kakitangan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) maut selepas motosikal berkuasa tinggi ditunggangnya merempuh kereta di Jalan Mata Ayer-Beseri, Padang Besar, Perlis, hari ini.

Dalam kejadian 5.35 petang itu, mangsa, Mohd Hendra Abidin, 34, dikatakan gagal mengawal Kawasaki Z1000 yang ditunggang dan merempuh Proton Saga yang mahu membelok ke kiri jalan.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Ghazani Abd Ghani berkata, pelanggaran itu menyebabkan mangsa tercampak ke atas jalan raya manakala motosikalnya terseret ke arah bertentangan.

"Siasatan mendapati kedua-dua kenderaan itu dari arah yang sama iaitu dari Mata Ayer. Kereta yang dipandu lelaki berusia 69 tahun memperlahankan keretanya dan memberi isyarat untuk membelok sebelum secara tiba-tiba dilanggar mangsa," katanya ketika dihubungi.

Ghazani berkata, mangsa yang berasal dari Padang Melangit, di sini, dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) untuk mendapatkan rawatan, namun meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU).

"Punca kematian mangsa belum diketahui kerana masih dibedah siasat, manakala pemandu kereta tidak mengalami kecederaan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan 1987," katanya.

PENUNGGANG MOTOSIKAL KTM RC 250 MAUT KEMALANGAN DI BENTONG


KARAK : Mekanik maut selepas motosikal ditunggangnya hilang kawalan sebelum merempuh motosikal berkuasa tinggi di Kilometer 43.9, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak menghala ke Bentong, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian 10.40 pagi itu, Muhammad Norazhar Mat Jumad, 28, yang menunggang KTM RC 250 disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di bahagian kepala dan muka.

Kemalangan turut mengakibatkan penunggang Yamaha YZF-R1, Mohd Samsul Jamil, 43, cedera.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang Superintendan Mohd Noor Yusof Ali berkata, siasatan awal mendapati motosikal mangsa hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan dan melanggar motosikal di hadapannya sehingga mengakibatkan mangsa terseret hingga ke bahu jalan.

“Pelanggaran itu mengakibatkan mangsa maut di lokasi manakala penunggang di hadapannya cedera ringan akibat terjatuh,” katanya.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Bentong untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

GESELAN MAUT SUPERBIKE DAN MOTORCUB


Penunggang motosikal berkuasa tinggi jenis Kawasaki Z1000 maut selepas bergesel dengan seorang lagi penunggang motosikal Yamaha Lagenda di Kilometer 4.8 Lebuh Raya Utara-Selatan dari arah Bukit Kayu Hitam menghala Alor Setar petang tadi.

Dalam kejadian jam 1.50 petang itu, mangsa Ooi Wei Sheah, 25, maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah manakala penunggang motosikal Yamaha Lagenda, Loo Hock Guang, 56, cedera parah di kaki.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Superintendan Abd Hadi Hassan berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua motosikal itu yang datang dari arah sama bergesel sebaik tiba di lokasi kejadian menyebabkan kedua-duanya terbabas.

Menurutnya, penunggang motosikal berkuasa tinggi yang mengalami kecederaan parah meninggal dunia di tempat kejadian sementara seorang lagi mangsa cedera parah di kaki.

"Mayat dihantar ke Hospital Jitra untuk bedah siasat sementara mangsa yang cedera parah turut dirawat di hospital sama.

"Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan 1987," katanya ketika dihubungi tadi.

DUA REMAJA MAUT MOTOSIKAL BERKUASA TINGGI HILANG KAWALAN DI SEKSYEN 6 SHAH ALAM


SHAH ALAM : Dua remaja lelaki terbunuh apabila motosikal mereka terbabas dalam kejadian di Persiaran Dato Menteri, Seksyen 6, dekat sini, hari ini.

Jurucakap polis Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, berkata berdasarkan keterangan saksi kedua-duanya, Muhammad Asyraf Mohd Naizie, 16, iaitu penunggang dan Muhammad Fudail Mazlin, 16, menaiki BMW S1000RR.

Menurut jurucakap itu, motosikal itu dipercayai terbabas selepas bergesel dengan pembahagi jalan.

Beliau berkata, penunggangnya tercampak ke pokok sebelum terpelanting semula ke jalan manakala pemboncengnya terhuban ke jalan.

"Kedua-duanya disahkan maut di tempat kejadian oleh paramedik yang tiba di lokasi.

"Mayat kedua-duanya dihantar ke Hospital Shah Alam untuk bedah siasat dan waris sudah dimaklumkan," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) 1987 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Al-Fatihah..

KONVOI MOTOSIKAL BERKUASA TINGGI BERTUKAR TRAGEDI


Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi warga Malaysia maut manakala isterinya cedera parah dalam kemalangan di Hatyai.

Pegawai siasatan Balai Polis Hatyai Kapt Thirathat Thammarat berkata, kejadian pada 9.30 pagi (waktu tempatan) di Jalan Khancanawanit mengorbankan Jaafary Jaafar, 48, berasal dari Johor.

Isterinya yang cedera parah dalam kemalangan itu dikenali sebagai Nor Syakila Burhanuddin, 45, dari Johor dan merupakan pembonceng motosikal malang itu.

"Warga Malaysia itu peserta dalam konvoi 10 rakyat negara itu menaiki lima buah motosikal dalam perjalanan pulang ke negara asal mereka selepas bercuti di Thailand," katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, tiba di persimpangan jalan, motosikal mangsa merempuh sebuah motosikal dinaiki warga Thailand yang dipercayai melanggar lampu isyarat merah sehingga menyebabkan berlakunya kemalangan.

Beliau berkata, penunggang motosikal warga Thailand itu mengalami kecederaan parah dan akan disiasat polis apabila keadaan kesihatannya mengizinkan.