GESELAN MAUT SUPERBIKE DAN MOTORCUB


Penunggang motosikal berkuasa tinggi jenis Kawasaki Z1000 maut selepas bergesel dengan seorang lagi penunggang motosikal Yamaha Lagenda di Kilometer 4.8 Lebuh Raya Utara-Selatan dari arah Bukit Kayu Hitam menghala Alor Setar petang tadi.

Dalam kejadian jam 1.50 petang itu, mangsa Ooi Wei Sheah, 25, maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah manakala penunggang motosikal Yamaha Lagenda, Loo Hock Guang, 56, cedera parah di kaki.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Superintendan Abd Hadi Hassan berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua motosikal itu yang datang dari arah sama bergesel sebaik tiba di lokasi kejadian menyebabkan kedua-duanya terbabas.

Menurutnya, penunggang motosikal berkuasa tinggi yang mengalami kecederaan parah meninggal dunia di tempat kejadian sementara seorang lagi mangsa cedera parah di kaki.

"Mayat dihantar ke Hospital Jitra untuk bedah siasat sementara mangsa yang cedera parah turut dirawat di hospital sama.

"Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan 1987," katanya ketika dihubungi tadi.

0 comments: