PENUNGGANG MOTOSIKAL KTM RC 250 MAUT KEMALANGAN DI BENTONG


KARAK : Mekanik maut selepas motosikal ditunggangnya hilang kawalan sebelum merempuh motosikal berkuasa tinggi di Kilometer 43.9, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak menghala ke Bentong, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian 10.40 pagi itu, Muhammad Norazhar Mat Jumad, 28, yang menunggang KTM RC 250 disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di bahagian kepala dan muka.

Kemalangan turut mengakibatkan penunggang Yamaha YZF-R1, Mohd Samsul Jamil, 43, cedera.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang Superintendan Mohd Noor Yusof Ali berkata, siasatan awal mendapati motosikal mangsa hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan dan melanggar motosikal di hadapannya sehingga mengakibatkan mangsa terseret hingga ke bahu jalan.

“Pelanggaran itu mengakibatkan mangsa maut di lokasi manakala penunggang di hadapannya cedera ringan akibat terjatuh,” katanya.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Bentong untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

0 comments: