KEDAH : Tiga beranak maut selepas kereta dinaiki dilanggar pacuan empat roda di simpang empat Charok Nau, Jalan Baru Baling-Kupang.
Mangsa yang meninggal dunia dikenal pasti sebagai Asmad Mukammad, 62, isterinya, Ninik Abd Lajjah, 54 dan anaknya Nuriyati,35. Mereka berasal dari Kampung Bum Bum, Semporna, Sabah.
Asmad meninggal dunia di Hospital Baling (HB) 8.20 malam tadi, manakala Ninik dan Nuriyati meninggal dunia di tempat kejadian.
Dua lagi anak Asmad iaitu Azmi, 30, yang memandu kereta dan Noraini, 27, cedera serta dirawat sebagai pesakit luar di hospital sama.
Lima beranak itu dikatakan ke Baling untuk bercuti sambil menziarah anak mereka Konstabel Asri, 23, yang bertugas sebagai anggota polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Baling.
Ketua Polis Daerah Baling Superintendan Shariffuddin Yusof berkata, siasatan awal mendapati kereta Proton Wira dipandu Azmi keluar dari simpang empat dan membelok ke kanan untuk ke Kupang dan dilanggar oleh pacuan empat roda Toyota Hilux dari hadapan Jalan Baling ke Kupang.
"Dua ahli keluarga mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala bapa mereka meninggal dunia di HB ketika menerima rawatan," katanya.
Katanya, pemandu Toyota Hilux, Mohamad Ridzuan Mohamad,40, dari Taman Sri Landak, Kupang, cedera.
Jenazah dijangka dihantar ke Kampung Bum Bum, Semporna esok untuk dikebumikan.
0 comments: