GESELAN MAUT SUPERBIKE DAN MOTORCUB


Penunggang motosikal berkuasa tinggi jenis Kawasaki Z1000 maut selepas bergesel dengan seorang lagi penunggang motosikal Yamaha Lagenda di Kilometer 4.8 Lebuh Raya Utara-Selatan dari arah Bukit Kayu Hitam menghala Alor Setar petang tadi.

Dalam kejadian jam 1.50 petang itu, mangsa Ooi Wei Sheah, 25, maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah manakala penunggang motosikal Yamaha Lagenda, Loo Hock Guang, 56, cedera parah di kaki.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Superintendan Abd Hadi Hassan berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua motosikal itu yang datang dari arah sama bergesel sebaik tiba di lokasi kejadian menyebabkan kedua-duanya terbabas.

Menurutnya, penunggang motosikal berkuasa tinggi yang mengalami kecederaan parah meninggal dunia di tempat kejadian sementara seorang lagi mangsa cedera parah di kaki.

"Mayat dihantar ke Hospital Jitra untuk bedah siasat sementara mangsa yang cedera parah turut dirawat di hospital sama.

"Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan 1987," katanya ketika dihubungi tadi.

REMAJA MAUT TERPEROSOK BAWAH LORI


Remaja lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung lori selepas gagal memotong kenderaan di hadapannya di Kilometer 1 Jalan Bota Kiri - Tanjung Belanja.

Dalam kejadian 8.20 pagi itu, Mukmin Nur Ikram Hasrul Muhaimin, 16 yang sudah tidak bersekolah menunggang motosikal jenis Honda maut di lokasi kejadian manakala pemandu lori berusia 62 tahun tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Aziz Hassan berkata, siasatan awal mendapati pemandu lori berkenaan dalam perjalanan dari Tanjung Belanja menghala ke Kampung Gajah manakala motosikal ditunggang remaja berkenaan datang dari arah bertentangan.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian motosikal ditunggang mangsa secara tiba-tiba masuk ke laluan lori berkenaan untuk memotong kenderaan di hadapannya.

"Motosikal berkenaan bagaimanapun gagal memotong dan melanggar lori berkenaan.

"Akibat perlanggaran itu, mangsa parah dan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Aziz berkata, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Changkat Melintang untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

AL-FATIHAH..