REMAJA MAUT KERETA TERBALIK DALAM PARIT BERLUMPUR


PERLIS : Seorang remaja maut apabila kereta Proton Wira yang dipandunya terbabas ke dalam parit selepas merempuh penunggang motosikal dan pokok di Kilometer 4, Jalan Changlun-Kuala Perlis, semalam.

Dalam kejadian jam 6.35 pagi itu, mangsa, Yee Kok Hui, 21, memandu sendirian dari arah Kangar menghala ke Kuala Perlis.

Difahamkan, mangsa dipercayai baru pulang daripada mengambil bekalan daging sejuk beku untuk dijual di Kuala Perlis sebelum terbabit kemalangan.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, mangsa yang memandu sendirian merempuh seorang lagi penunggang motosikal dari arah sama sebelum terlanggar sebatang pokok dan terbalik ke dalam parit.

“Pemandu kereta terbabit tersepit di dalam kereta dan disahkan meninggalkan dunia di tempat kejadian.

“Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian pada awal pagi itu,” katanya.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke HTF untuk dibedah siasat bagi menyiasat punca sebenar kematian.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1), Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

DUA PELUMBA HARAM REMPUH REMAJA DI JALAN IPOH


Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh dua motosikal lain dalam di Kilometer 6 Jalan Ipoh-Lumut di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian 2.30 pagi itu, Anas Redha Khair Al Anwar, 15, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera akibat dirempuh kumpulan dipercayai mat rempit yang sedang berlumba haram.

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Tengku Mohd Zailan Tengku Ahmad Shah berkata, kejadian membabitkan tiga motosikal ketika mangsa yang menunggang Honda EX5 dikatakan sedang keluar dari satu persimpangan lampu isyarat untuk ke arah Sitiawan.

Menurutnya, tiba-tiba datang motosikal Kawasaki RR 150 ditunggang seorang lelaki berusia 21 tahun dan Modenas CT100 ditunggang remaja 19 tahun dari arah Lumut ke Sitiawan, melanggar sisi motosikal mangsa.

"Dua remaja terbabit dipercayai sedang berlumba dan akibat rempuhan itu, mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian. Penunggang Kawasaki luka mata kanan, bahu kiri dan jari kaki kanan manakala penunggang Modenas pula luka mata kanan, dagu, siku dan kaki," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Tengku Mohd Zailan berkata, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Seri Manjung manakala dua mangsa yang cedera dibawa ke Unit Kecemasan hospital sama untuk rawatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

REMAJA MAUT TERPEROSOK BAWAH LORI


Remaja lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung lori selepas gagal memotong kenderaan di hadapannya di Kilometer 1 Jalan Bota Kiri - Tanjung Belanja.

Dalam kejadian 8.20 pagi itu, Mukmin Nur Ikram Hasrul Muhaimin, 16 yang sudah tidak bersekolah menunggang motosikal jenis Honda maut di lokasi kejadian manakala pemandu lori berusia 62 tahun tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Aziz Hassan berkata, siasatan awal mendapati pemandu lori berkenaan dalam perjalanan dari Tanjung Belanja menghala ke Kampung Gajah manakala motosikal ditunggang remaja berkenaan datang dari arah bertentangan.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian motosikal ditunggang mangsa secara tiba-tiba masuk ke laluan lori berkenaan untuk memotong kenderaan di hadapannya.

"Motosikal berkenaan bagaimanapun gagal memotong dan melanggar lori berkenaan.

"Akibat perlanggaran itu, mangsa parah dan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Aziz berkata, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Changkat Melintang untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

AL-FATIHAH..

DUA REMAJA MAUT MOTOSIKAL BERKUASA TINGGI HILANG KAWALAN DI SEKSYEN 6 SHAH ALAM


SHAH ALAM : Dua remaja lelaki terbunuh apabila motosikal mereka terbabas dalam kejadian di Persiaran Dato Menteri, Seksyen 6, dekat sini, hari ini.

Jurucakap polis Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, berkata berdasarkan keterangan saksi kedua-duanya, Muhammad Asyraf Mohd Naizie, 16, iaitu penunggang dan Muhammad Fudail Mazlin, 16, menaiki BMW S1000RR.

Menurut jurucakap itu, motosikal itu dipercayai terbabas selepas bergesel dengan pembahagi jalan.

Beliau berkata, penunggangnya tercampak ke pokok sebelum terpelanting semula ke jalan manakala pemboncengnya terhuban ke jalan.

"Kedua-duanya disahkan maut di tempat kejadian oleh paramedik yang tiba di lokasi.

"Mayat kedua-duanya dihantar ke Hospital Shah Alam untuk bedah siasat dan waris sudah dimaklumkan," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) 1987 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Al-Fatihah..