SEORANG MAUT PELANGGARAN BERANTAI DI SLIM RIVER


TANJUNG MALIM : Seorang maut manakala empat cedera termasuk seorang kanak-kanak dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Kilometer 390.3 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan pagi tadi.

Dalam kejadian jam 5.30 pagi itu, Marwan Malik Hajammubarakali, 29, yang memandu Proton Saga maut di lokasi kejadian.

Empat yang cedera ialah pemandu Perodua Axia dan pasangan suami isteri serta anak mereka berusia dua tahun yang menaiki Proton Saga.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Perak Superintendan Wan Jamil Wan Chik berkata, siasatan awal mendapati Proton Saga dipandu mangsa dalam perjalanan menghala ke Kuala Lumpur sebelum terbabas dan merempuh pembahagi jalan.

Katanya, akibat kemalangan itu mangsa tercampak keluar dari kenderaan.

Beliau berkata, sebuah lori jenis Hino dari arah sama gagal mengelak Proton Saga berkenaan dan hilang kawalan sebelum terbalik di lorong kanan manakala sebuah lagi lori jenis Daihatsu turut terbabas di kiri lebuh raya.

"Perodua Axia yang mengekori lori Daihatsu tidak sempat mengelak dan merempuh lori berkenaan mengakibatkan tayar ganti kenderaan itu terjatuh di jalan raya.

"Sebuah Toyota Corolla dari arah sama tidak sempat mengelak tayar itu sebelum terbabas dan melanggar pembahagi jalan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Wan Jamil berkata, akibat kemalangan itu, pemandu Proton Saga maut di lokasi kejadian dan jenazah dihantar ke Hospital Slim River untuk bedah siasat. Semua mangsa cedera turut dihantar ke hospital sama.

Beliau berkata, kedua-dua pemandu lori tidak cedera dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

REMAJA MAUT KERETA TERBALIK DALAM PARIT BERLUMPUR


PERLIS : Seorang remaja maut apabila kereta Proton Wira yang dipandunya terbabas ke dalam parit selepas merempuh penunggang motosikal dan pokok di Kilometer 4, Jalan Changlun-Kuala Perlis, semalam.

Dalam kejadian jam 6.35 pagi itu, mangsa, Yee Kok Hui, 21, memandu sendirian dari arah Kangar menghala ke Kuala Perlis.

Difahamkan, mangsa dipercayai baru pulang daripada mengambil bekalan daging sejuk beku untuk dijual di Kuala Perlis sebelum terbabit kemalangan.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, mangsa yang memandu sendirian merempuh seorang lagi penunggang motosikal dari arah sama sebelum terlanggar sebatang pokok dan terbalik ke dalam parit.

“Pemandu kereta terbabit tersepit di dalam kereta dan disahkan meninggalkan dunia di tempat kejadian.

“Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian pada awal pagi itu,” katanya.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke HTF untuk dibedah siasat bagi menyiasat punca sebenar kematian.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1), Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

DUA PELUMBA HARAM REMPUH REMAJA DI JALAN IPOH


Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh dua motosikal lain dalam di Kilometer 6 Jalan Ipoh-Lumut di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian 2.30 pagi itu, Anas Redha Khair Al Anwar, 15, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera akibat dirempuh kumpulan dipercayai mat rempit yang sedang berlumba haram.

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Tengku Mohd Zailan Tengku Ahmad Shah berkata, kejadian membabitkan tiga motosikal ketika mangsa yang menunggang Honda EX5 dikatakan sedang keluar dari satu persimpangan lampu isyarat untuk ke arah Sitiawan.

Menurutnya, tiba-tiba datang motosikal Kawasaki RR 150 ditunggang seorang lelaki berusia 21 tahun dan Modenas CT100 ditunggang remaja 19 tahun dari arah Lumut ke Sitiawan, melanggar sisi motosikal mangsa.

"Dua remaja terbabit dipercayai sedang berlumba dan akibat rempuhan itu, mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian. Penunggang Kawasaki luka mata kanan, bahu kiri dan jari kaki kanan manakala penunggang Modenas pula luka mata kanan, dagu, siku dan kaki," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Tengku Mohd Zailan berkata, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Seri Manjung manakala dua mangsa yang cedera dibawa ke Unit Kecemasan hospital sama untuk rawatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

PENUMPANG SELAMAT, PEMANDU TERKULAI


PARIT BUNTAR : Seorang lelaki maut dan seorang wanita cedera selepas kereta mereka terbabit dalam kemalangan dengan bas ekspres di persimpangan lampu isyarat simpang tiga di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian 5.20 pagi itu, lelaki yang memandu kereta Proton Wira berkenaan maut di lokasi kejadian manakala penumpangnya cedera.

Pemandu bas ekspres pula tidak mengalami sebarang kecederaan dan bas berkenaan tidak membawa penumpang.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Parit Buntar, Halim Mansor berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian pada 5.28 pagi dan sebaik tiba, mendapati dua mangsa tersepit dalam kereta berkenaan.

"Anggota bomba bertindak mengeluarkan kedua-dua mangsa. Bagaimanapun pemandu kereta berkenaan disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik di lokasi kejadian manakala penumpangnya cedera di kaki.

"Mangsa yang maut diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut manakala mangsa yang cedera dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut," katanya.

DUA MATI TERSEPIT DALAM AXIA SELEPAS REMPUH TIANG TELEFON


Dua maut, manakala tiga lagi cedera apabila kereta Perodua Axia dinaiki, terbabas merempuh tiang telefon di Kilometer 31, Jalan Sri Aman-Serian di sini, hari ini.

Dalam kejadian 7 pagi berdekatan pekan Lachau itu, pemandu kenderaan dikenali sebagai Sultan Untang, 43, dan penumpangnya, Romualdo Alim, 18, meninggal dunia di tempat kejadian akibat tersepit dalam kereta.

Tiga lagi penumpang, Michael Robert, 22, Maxson Robert, 18, dan Donna Putra, 18, pula cedera ringan.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Tiong Ling Hii berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sri Aman dikejarkan ke tempat kejadian yang terletak 25 kilometer dari balai selepas menerima panggilan pada 7.15 pagi.

"Setibanya di lokasi pada 7.42 pagi, kami didapati dua mangsa tersepit dalam kenderaan sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik.

"Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Sri Aman untuk tindakan lanjut, manakala tiga mangsa yang turut mendapat rawatan di hospital sama," katanya.

BUDAK SEKOLAH MAUT TERCAMPAK KELUAR DARI KENDERAAN DI SETIU


KUALA TERENGGANU : Murid tahun enam maut manakala sembilan rakannya cedera, seorang daripadanya parah dalam kemalangan di Kilometer 47 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu, dekat Kampung Sungai Bari, Setiu.

Murid Sekolah Kebangsaan Batu 29, Setiu, Aqil Iskandar Azrol Affendi, 12, maut di tempat kejadian dalam kemalangan pada kira-kira 2 petang.

Rakannya, Che Ahmad Zakwan Abd Rashid, 12, parah di kepala dan dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu.

Lapan murid yang cedera adalah :

1 Muhammad Arif Aziz

2 Amirul Hakim Kamaruzaman

3 Fakrul Fauzi,

4 Muhammad Aqif Danial Ramli,

5 Muhammad Iman Hakim Zul,

6 Muhammad Irwan Fahmi Muhamad Rosli,

7 Muhammad Faiq Hurairah Mahadi dan

8 Muhammad Nor Hariz Mohd Ismail

Kesemua mereka dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Setiu.

Pemandu Toyota Innova, Nurul Shafikah Aziz, 21, yang cedera di kaki turut dirawat di Hospital Setiu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Setiu, Asisten Superintendan Burhanuddin Mustafa, berkata kejadian dipercayai ketika mereka dalam perjalanan dari Kuala Terengganu menghala ke Kota Bharu.

Beliau berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, kenderaan dipercayai terbabas dan berpusing beberapa kali sebelum terbalik.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Terengganu, Shafruddin Ali Hussin berkata, berdasarkan maklumat awal, 10 murid terbabit sedang mengikuti kem di sekolah mereka.

“Saya difahamkan, penyelia asrama meminta anak perempuannya menjemput seorang anaknya yang mengikuti kem itu di sekolah untuk balik makan.

“Tetapi, kita tidak tahu bagaimana sembilan lagi murid boleh ikut sama dan sekarang kita masih siasat sama ada murid yang terbabit itu diajak bersama atau atas permintaan mereka.

“Saya sudah arahkan Pejabat Pendidikan Daerah Setiu untuk menyiasat perkara ini,” katanya.

DILANGGAR DAN DI GILIS KETIKA CUBA BUAT PUSINGAN U


MELAKA : Dua maut , seorang parah dalam nahas membabitkan tiga kenderaan di Lebuh AMJ berhampiran persimpangan Batu Gajah, Jasin di sini, 10 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superintendan Sakri Yusoff@Zahari berkata, mangsa yang maut kedua-duanya lelaki yang juga penunggang dan pembonceng motosikal berusia 16 dan 41 tahun.

"Kejadian dipercayai berlaku apabila motosikal berkenaan yang datang dari arah Muar ke Melaka membuat pusingan U sebelum dirempuh sebuah kereta dipandu anggota polis berusia 25 tahun yang datang dari arah bertentangan.

"Kereta terbabit kemudian terhumban ke dalam parit sedalam kira-kira dua meter mengakibatkan pemandunya berusia 25 tahun parah, " katanya ketika dihubungi malam tadi.

Menurutnya, kedua-dua mangsa yang menunggang motosikal kemudian dipercayai digilis sebuah lagi kenderaan yang datang dari arah Melaka menyebabkan mangsa maut di tempat kejadian.

Sakri Yusoff berkata, mayat dihantar ke Hospital Jasin untuk bedah siasat dan identiti semua mangsa sedang dikenal pasti.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1)(A), Akta Pengangkutan Jalan 1987.

VIRAL SI LALOK DADAH BAWA KENDERAAN LAWAN ARUS DI BUTTERWORTH


Tindakan seorang remaja yang memandu melawan arus di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dekat sini telah menyebabkan kemalangan membabitkan enam kenderaan yang mengorbankan satu nyawa.

Dalam kejadian jam 7.50 pagi Selasa, pemandu Proton Gen 2 berusia 19 tahun yang dipercayai mabuk itu  memandu secara berbahaya dari Tol Sungai Dua menghala ke Butterworth.

Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid, kenderaan tersebut bertembung dengan sebuah kereta jenis Perodua Kelisa yang menyebabkan ia terbabas ke kiri jalan sebelum terlanggar sebuah motosikal.

Pada masa sama, kereta Proton Gen 2 itu terbabas dan berpusing lalu melanggar tiga buah kenderaan lain termasuk sebuah van kilang.

Pemandu Perodua Kelisa yang dikenali sebagai Mohamad Fandi Rosli, 26 tahun, dan beralamat  di Lorong 2/2 B, Taman Rhu, Sungai Petani meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan anggota badan.

Manakala pemandu Gen 2 serta empat pemandu lain hanya mengalami cedera ringan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Bukit Mertajam.

Mangsa yang maut kemudiannya dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk bedah siasat.

Nahas yang berlaku ketika orang ramai berpusu-pusu keluar ke tempat kerja turut menyebabkan berlakunya kesesakan teruk sepanjang tiga kilometer.

Nik Ros Azhan berkata kes disiasat mengikut Sekyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu cuai sehingga menyebabkan kematian.

LELAKI RENTUNG KERETA REMPUH POKOK DEKAT BATU UBAN


PINANG : Seorang lelaki maut dengan separuh bahagian badannya rentung akibat terperangkap dalam keretanya yang terbakar selepas terbabit dalam kemalangan di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Choong Eu, berdekatan bangunan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Batu Uban di sini kira-kira pukul 8 pagi tadi.

Mangsa dikenali sebagai Oh Chun Guan, 25, dari Lorong Amoy, George Town memandu kereta jenis Proton Saga seorang diri dari arah Bayan Lepas menuju ke arah pusat bandar.

Dia dipercayai  hilang kawalan sebelum melanggar sebatang pokok di bahu jalan di kawasan kejadian.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Farid Al- Atrash berkata,  akibat pelanggaran itu, mangsa tersepit di dalam kenderaannya  dan gagal menyelamatkan diri selepas keretanya terbakar.

"Kereta yang dipandu mangsa dipercayai gagal dikawal sebelum terbabas ke bahu jalan dan merempuh pokok mengakibatkan kereta jenis Proton Saga itu terbakar. Mangsa cuba menyelamatkan diri, bagaimanapun terperangkap ketika api sedang marak membakar keretanya," katanya di sini hari ini.

Sementara itu,  pasukan Bomba dan Penyelamat yang bergegas ke lokasi kejadian mendapati kenderaan tersebut terbakar sepenuhnya.

Mayat mangsa  di bawa ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat. Kes disiasat di bawah Sekyen 41 (1) JPJ 1987.