PENUMPANG SELAMAT, PEMANDU TERKULAI


PARIT BUNTAR : Seorang lelaki maut dan seorang wanita cedera selepas kereta mereka terbabit dalam kemalangan dengan bas ekspres di persimpangan lampu isyarat simpang tiga di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian 5.20 pagi itu, lelaki yang memandu kereta Proton Wira berkenaan maut di lokasi kejadian manakala penumpangnya cedera.

Pemandu bas ekspres pula tidak mengalami sebarang kecederaan dan bas berkenaan tidak membawa penumpang.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Parit Buntar, Halim Mansor berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian pada 5.28 pagi dan sebaik tiba, mendapati dua mangsa tersepit dalam kereta berkenaan.

"Anggota bomba bertindak mengeluarkan kedua-dua mangsa. Bagaimanapun pemandu kereta berkenaan disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik di lokasi kejadian manakala penumpangnya cedera di kaki.

"Mangsa yang maut diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut manakala mangsa yang cedera dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut," katanya.

0 comments: