TANJUNG MALIM : Seorang maut manakala empat cedera termasuk seorang kanak-kanak dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Kilometer 390.3 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan pagi tadi.
Dalam kejadian jam 5.30 pagi itu, Marwan Malik Hajammubarakali, 29, yang memandu Proton Saga maut di lokasi kejadian.
Empat yang cedera ialah pemandu Perodua Axia dan pasangan suami isteri serta anak mereka berusia dua tahun yang menaiki Proton Saga.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Perak Superintendan Wan Jamil Wan Chik berkata, siasatan awal mendapati Proton Saga dipandu mangsa dalam perjalanan menghala ke Kuala Lumpur sebelum terbabas dan merempuh pembahagi jalan.
Katanya, akibat kemalangan itu mangsa tercampak keluar dari kenderaan.
Beliau berkata, sebuah lori jenis Hino dari arah sama gagal mengelak Proton Saga berkenaan dan hilang kawalan sebelum terbalik di lorong kanan manakala sebuah lagi lori jenis Daihatsu turut terbabas di kiri lebuh raya.
"Perodua Axia yang mengekori lori Daihatsu tidak sempat mengelak dan merempuh lori berkenaan mengakibatkan tayar ganti kenderaan itu terjatuh di jalan raya.
"Sebuah Toyota Corolla dari arah sama tidak sempat mengelak tayar itu sebelum terbabas dan melanggar pembahagi jalan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Wan Jamil berkata, akibat kemalangan itu, pemandu Proton Saga maut di lokasi kejadian dan jenazah dihantar ke Hospital Slim River untuk bedah siasat. Semua mangsa cedera turut dihantar ke hospital sama.
Beliau berkata, kedua-dua pemandu lori tidak cedera dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
0 comments: