DILANGGAR DAN DI GILIS KETIKA CUBA BUAT PUSINGAN U


MELAKA : Dua maut , seorang parah dalam nahas membabitkan tiga kenderaan di Lebuh AMJ berhampiran persimpangan Batu Gajah, Jasin di sini, 10 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superintendan Sakri Yusoff@Zahari berkata, mangsa yang maut kedua-duanya lelaki yang juga penunggang dan pembonceng motosikal berusia 16 dan 41 tahun.

"Kejadian dipercayai berlaku apabila motosikal berkenaan yang datang dari arah Muar ke Melaka membuat pusingan U sebelum dirempuh sebuah kereta dipandu anggota polis berusia 25 tahun yang datang dari arah bertentangan.

"Kereta terbabit kemudian terhumban ke dalam parit sedalam kira-kira dua meter mengakibatkan pemandunya berusia 25 tahun parah, " katanya ketika dihubungi malam tadi.

Menurutnya, kedua-dua mangsa yang menunggang motosikal kemudian dipercayai digilis sebuah lagi kenderaan yang datang dari arah Melaka menyebabkan mangsa maut di tempat kejadian.

Sakri Yusoff berkata, mayat dihantar ke Hospital Jasin untuk bedah siasat dan identiti semua mangsa sedang dikenal pasti.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1)(A), Akta Pengangkutan Jalan 1987.

PENUNGGANG MOTOSIKAL PUTUS KEPALA


MELAKA : Seorang pekerja resort maut dalam keadaan ngeri selepas motosikal ditunggangnya merempuh sebuah lori lalu terperosok di bawah kenderaan berat berkenaan di Jalan Rim-Chabau di sini, hari ini.

Mangsa,  Hairul Jefry Zulkhifle, 29, yang dikatakan dalam perjalanan ke tempat kerja di Ayer Keroh selepas menghantar sepupunya ke sebuah sekolah di Chabau maut dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Sakri Yusoff @ Zahari berkata, motosikal Yamaha Lagenda ditunggangi mangsa dari Jalan Chabau ke Jalan Rim dipercayai melanggar bahagian tengah lori yang sedang keluar dari sebuah ladang sawit.

"Mangsa kemudian diseret sejauh kira-kira 12 meter sementara kepalanya terputus dari badan dan berada di kedudukan juga sejauh 12 meter.

"Mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian kemudian dibawa ke Hospital Jasin untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Al-Fatihah..