PENUNGGANG MOTOSIKAL MAUT BERTEMBUNG DENGAN VAN DI SIMPANG LORONG BERCHAM


LAPORAN KEMALANGAN MAUT : Lelaki berusia 23 tahun maut selepas motosikal ditunggang melanggar van di Jalan Bercham berhampiran simpang Lorong Bercham 11, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian 4.45 pagi itu, Mohd Farhan Mohd Ali, 23, meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu van berusia 53 tahun cedera di muka dan kepala.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, siasatan mendapati van berkenaan dalam perjalanan dari pusat bandar ke pasar pagi Jalan Bercham.

Katanya, setibanya di lokasi kejadian, pemandu van berkenaan membelok kenderaannya sebelum bertembung dengan motosikal terbabit yang datang dari arah bertentangan.

“Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal berkenaan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu van cedera dan menerima rawatan di Hospital Fatimah, di sini,”katanya ketika dihubungi, di sini.

Chang Keong berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat sebelum dituntut waris untuk urusan pengebumian.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

SEORANG MAUT SEORANG LAGI PARAH KERETA DI PANDU TERJUNAM DALAM GAUNG


Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera parah selepas kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya terbabas dan terjatuh ke gaung sedalam 50 meter di Kilometer 260 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara selepas Terowong Menora, Ipoh pada Rabu.

Dalam kejadian pada jam 5.20 petang itu mangsa Muhammad Safiq Danial Alias, 18, meninggal dunia di tempat kejadian manakala rakannya, Mohamad Nur Hafiz Mohd Ridzuan, 20, patah kaki kiri.

Menurut Pegawai Turus Trafik Perak, Mohd Mahiri Hussin siasatan awal mendapati kenderaan dipandu mangsa gagal dikawal sebelum terbabas ke kiri jalan dan terjatuh ke dalam gaung sedalam 50 meter itu.

Katanya, kedua-dua mangsa telah tercampak keluar dari kenderaan manakala kenderaan telah mengalami kerosakan teruk.

Jelasnya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


“(Kenderaan) dipercayai terbabas ke kiri dan melanggar pembahagi jalan dan menjunam ke gaung sedalam 50 meter.

“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian kerana tercampak keluar dari kenderaan, manakala seorang lagi penumpang mengalami kecederaan dan dibawa ke hospital,” ujar Mohd Mahiri.

Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat manakala mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Kuala Kangsar untuk rawatan lanjut.

Kira-kira 20 anggota bomba telah melakukan kerja-kerja menyelamat dan operasi telah berakhir pada jam 7 petang.

Mohd Mahiri berkata polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengetahui punca kejadian dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

MAUT TERCAMPAK KELUAR DARI KERETA SELEPAS LANGGAR PEMBAHAGI JALAN


Perjalanan lima sahabat untuk menziarahi rakan mereka yang maut akibat kemalangan tidak kesampaian apabila dua daripada mereka maut apabila kereta yang mereka naiki terbabas melanggar pembahagi jalan di Kilometer 257, Lebuh Raya Uta­ra-Selatan arah utara semalam.

TEMUI AJAL LANGGAR BADAN LORI


IPOH : Seorang lelaki maut setelah motosikal berkuasa tingginya merempuh sebuah lori di Jalan Keramat, Simpang Pulai pada petang Rabu.

Dalam kejadian sekitar 2 petang itu, mangsa yang menaiki motosikal berkuasa tinggi sedang dalam perjalanan ke Cameron Highlands tersepit di bawah tayar lori berkenaan dan disahkan maut di tempat kejadian.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai, Pegawai Bomba Kanan Hadi Abdullah berkata pihaknya menerima panggilan sekitar 2.40 petang dan bergegas ke tempat kejadian.

Setibanya kami di tempat kejadian, kami dapati motosikal mangsa telah pun tersadai dan tersepit di bahagian bawah tayar lori.

“Anggota kami kemudiannya menggunakan alat menyelamat khas untuk mengeluarkan mangsa dan menyerahkannya kepada pihak ambulans bagi tindakan selanjutnya,” katanya.

Hadi berkata pihak ambulans mengesahkan mangsa maut di tempat kejadian berikutan impak perlanggaran itu.

“Operasi tamat sepenuhnya sekitar 3.15 petang,” katanya lagi.

DUA BERANAK MAUT KERETA HILANG KAWALAN DI PLAZA TOL IPOH


Ipoh: Dua beranak maut manakala tiga yang lain cedera selepas kenderaan dinaiki keluarga itu hilang kawalan sebelum melanggar besi penghadang di bahagian kiri jalan di kilometer 280.1 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) berdekatan Plaza Tol Ipoh Selatan, di sini, malam tadi.

PEMANDU TRELER MAUT TERSEPIT DI TEMPAT DUDUK


Ipoh: Seorang pemandu lori berusia 40-an maut selepas kenderaan membawa muatan balak dipandunya itu hilang kawalan sebelum terbabas dan terbalik di kilometer 10 Jalan Simpang Pulai -Cameron Highlands, di sini, awal pagi tadi.