ANAK MAUT DEPAN MATA


Seorang ibu tergamam hingga hilang kata-kata apabila me­nyaksikan anak bongsunya maut akibat dilanggar sebuah kereta semasa melintas jalan untuk ke sekolah di Kilometer 7.8, Jalan Paka-Al Mukhtafi Billah Shah di sini semalam.

Rempuhan kereta Proton Persona tersebut menyebabkan Mohd. Syamil Harun, 10, yang merupakan murid tahun empat Sekolah Kebangsaan (SK) Santong, Paka di sini nyawa-nyawa ikan sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir di pangkuan abang sulungnya, Budiamin, 22, pada pukul 7.15 pagi.

Ibu mangsa, Hairah Abd. Rashid, 53, berkata, sebelum kejadian, anaknya yang berpa­kaian lengkap pasukan beruniform pengakap itu pada mulanya turun dari kenderaan pacuan empat roda, Nissan Frontier di tepi jalan.

“Namun, kemalangan itu berlaku dengan pantas. Ketika Mohd. Syamil melintas jalan untuk ke sekolah yang berada di seberang jalan tiba-tiba sebuah kereta Proton Persona dipandu oleh seorang wanita berusia 30-an merempuhnya.

“Rempuhan itu menyebabkan anak saya tercampak ke bahu jalan. Saya yang menyaksikan kejadian itu tergamam dan tidak tahu berbuat apa-apa sebelum anak sulung saya (Budiamin) yang turut berada di dalam kereta meluru keluar mendapatkan adiknya,” katanya

AL-FATIHAH..

GURU DAN BAYI ANTARA MAUT KEMALANGAN DI PEKAN SEKINCHAN


Guru lelaki dan bayi perempuan maut dalam kemalangan membabitkan Perodua Alza dan Proton Perdana di Jalan Klang-Teluk Intan berhampiran pekan Sekinchan, 7 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Nor Azmi Isa berkata, mangsa dikenali sebagai Mohd Faizuri ibrahim, 33, yang memandu Perodua Alza seorang diri dan dalam perjalanan ke sekolah.

Menurutnya, bayi berusia enam bulan dikenali sebagai Nur Qaireen Khalisya Anuwar adalah penumpang Proton Perdana yang dipandu ayahnya bersama ibu serta tiga adik beradik mangsa.

"Siasatan awal polis mendapati Perodua Alza dari arah Sekinchan gagal mengawal kenderaan dan terbabas ke laluan bertentangan. Pada waktu itu keadaan cuaca hujan lebat dan jalan basah.

"Pada masa sama Proton Perdana gagal mengelak dan berlaku perlanggaran yang menyebabkan Perodua Alza terbalik ke bahu jalan," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa yang parah meninggal dunia di lokasi kejadian manakala ibu bapa bayi berkenaan cedera di lutut serta patah lengan kiri.

"Keadaan tiga lagi penumpang yang juga anak suami isteri berkenaan tidak dapat dikenal pasti kerana dirujuk ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

EMPAT MAUT KERETA REMPUH BELAKANG TRELER ROSAK


PERAK : Empat maut dalam kemalangan melibatkan kereta Proton Iswara Aeroback dan sebuah lori tangki di Kilometer 209 Lebuhraya Utara Selatan arah Utara, berhampiran Changkat Jering.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 3.10 petang tadi mengakibatkan dua lelaki dan dua wanita meninggal dunia di lokasi.

Mangsa maut dikenali sebagai pemandu kereta Proton Iswara Aeroback, Azida Othman, 43, dan tiga penumpang kereta berkenaan, Muhammmad Aiman Hakim Suhaimi, 19; Othman Hamid, 68; dan Aishah Arof, 62. Kesemua mangsa beralamat di Penaga, Pulau Pinang.

Pemandu lori tangki berusia 48 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Perak, Superintendan Wan Jamil Wan Chik berkata, siasatan awal mendapati kereta yang dipandu mangsa telah melanggar lori tangki yang diparkir di lorong kecemasan.

“Keempat-empat mangsa maut dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Taiping untuk dibedah siasat dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Taiping menerima panggilan mengenai kejadian jam 3.31 petang.

Menurut sumber jabatan tersebut, anggota bertindak menggunakan peralatan menyelamat untuk memotong bahagian bumbung bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Kesemua mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut dan operasi tamat jam 6.42 petang.

ENAM KORBAN KEMALANGAN MAUT SEMPENA PULANG BERAYA AIDILADHA


ALOR SETAR : Dua yang parah dalam kemalangan yang menyebabkan empat maut di Batu 16, Jalan Padang Lumat dari arah Alor Setar ke Sungai Petani, Jumaat malam, meninggal dunia pada pagi Sabtu.

Kemalangan yang berlaku kira-kira pukul 9 malam tadi itu membabitkan tiga kenderaan bertembung dari arah hadapan.

Dua mangsa yang meninggal dunia pada pagi Sabtu, masing-masing di Hospital Yan dan Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar ialah penumpang Proton Iswara Hajir Ibrahim, 53 dan penumpang teksi Ooi Lian Choo, 76.

Manakala empat yang maut di tempat kejadian ialah pemandu Proton Iswara, Ahmad Ariff Haji Othman, 27, penumpang Iswara, Mohamad Azzmi Azizan, 32, pemandu teksi Ooi Guan Seng, 72  dan penumpang teksi Tai Cheng Kee @ Teh Suan Kee, 69.

Pemandu Proton Persona, kereta ketiga dalam kejadian, Nagaintren a/l Balakrishnan, 29, tidak mengalami kecederaan.

Ketika insiden berlaku, Proton Iswara yang dalam perjalanan ke Sungai Petani memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan teksi terbabit.

Akibat pertembungan itu, teksi berkenaan berpusing lalu dilanggar Proton Persona yang datang dari arah belakang.
Menurut Ketua Polis Daerah Yan, DSP Mohd Halim Yatim, kesemua mereka tersepit dan pihak bomba terpaksa memotong bumbung dan badan kenderaan bagi mengeluarkan mangsa.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 memandu secara merbahaya mengakibatkan kematian.

PELAJAR KOLEJ MAUT KERETA YANG DINAIKI HILANG KAWALAN


LAPORAN KEMALANGAN MAUT : “Sebelum ini, arwah beritahu dia bermimpi gigi bapanya luruh (tanggal), tak sangka ia petanda sebelum dia pergi buat selama-lamanya,” kata Roshilah Hashim, 50-an, ibu kepada Yushazliyana Yusof, 19, yang meninggal dunia selepas kereta dinaiki terbabas di Kilometer 120, Lebuhraya Utara-Selatan menghala selatan, dekat sini, awal pagi semalam.

Menurut Roshilah, anak bongsu daripada empat beradik itu keluar rumah jam 1.30 pagi untuk menghantar barangan dipesan pelanggan.

“Ini kerana, arwah yang belajar di sebuah kolej di Sungai Petani, Kedah berniaga secara dalam talian. Dia minat berniaga dan menjual jam,” katanya di Hospital Kepala Batas (HKB).

Dalam kemalangan jam 2 pagi itu, Yushazliyana yang juga penuntut bidang Pengurusan Perniagaan meninggal dunia di lokasi akibat parah pada badan selepas Proton Saga dinaiki bersama dua rakan terbabas dipercayai akibat jalan licin sebelum terbalik ke dalam longkang di kiri lebuh raya.

Mangsa tercampak sejauh 70 meter manakala dua rakannya parah dan dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk rawatan.

Ketika kejadian, beberapa pengguna berlindung daripada hujan di bawah jejantas sebelum menyaksikan kereta dinaiki mangsa terbabas.

Roshilah yang tinggal di Taman Ria Jaya, Sungai Petani berkata, arwah cemerlang dalam akademik dan rajin mencari wang sendiri.

“Arwah tidak suka menyusahkan keluarga sebaliknya berusaha mencari wang sendiri dengan berniaga.

“Dia tidak meninggalkan sebarang pesan sebelum keluar rumah malam tadi (semalam) tetapi beberapa hari lalu, dia beritahu bermimpi mengenai gigi bapanya luruh,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Asisten Komisioner Azmi Adam ketika dihubungi mengesahkan kejadian terbabit.

MAUT LANGGAR POKOK GETAH TUMBANG SECARA TIBA-TIBA


Seorang lelaki maut apabila motosikal yang ditunggang merempuh pokok getah tumbang dan melintang atas jalan berdekatan Stesen Petrol Despo Bagan Baru.

Dalam kejadian jam 6.30 pagi, Zainal Abidin Mat Zin, 23, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah.

Ketua Operasi Dan Menyelamat Balai Bomba dan Penyelamat Selama Penolong Pengusaha Bomba Mohd Fauzi Razali berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 6.33 pagi sebelum sepasukan anggota bersama jentera digerakkan ke lokasi kejadian.

Katanya, setiba di lokasi, anggota bertugas mendapati pokok getah tumbang melintangi jalan dan terdapat seorang mangsa bersama motosikal Yamaha LC.

“Mangsa disahkan meninggal di tempat kejadian oleh pasukan perubatan yang berada di lokasi.

“Mayat mangsa dikeluarkan dari kawasan pokok tumbang sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. Kerja-kerja memotong dan mengalihkan pokok dijalankan dan operasi tamat jam 8.49 pagi,” katanya.

ANGGOTA TLDM MAUT TERBABAS DAN TERCAMPAK DARI LEBUHRAYA BERTINGKAT DUKE


Anggota tentera maut selepas motosikalnya terbabas yang menyebabkannya tercampak dari ketinggian kira-kira 24 meter di Lebuhraya bertingkat Duke.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Shafie Daud, berkata, kejadian pada kira-kira 6 petang Isnin.

Katanya, siasatan lanjut di lokasi mendapati tiada kesan pelanggaran dengan kenderaan lain ditemui pada motosikalnya.

Menurutnya, mangsa dipercayai terlanggar tembok batu sebelum tercampak ke bahagian bawah lebuh raya berkenaan.

"Hasil maklumat daripada Pengarah Hal Ehwal Markas Tentera Laut dan isterinya mendapati, arwah Mohd Zuffizzan Mat Noh, 33, menghidap penyakit saraf dan sering pitam secara mengejut.

"Sebelum ini, mangsa dilaporkan pernah terbabit dalam kemalangan jalan raya selepas diserang penyakit itu. Mangsa juga masih menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, jenazah sudah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Shafie berkata, mangsa adalah anggota Tentera Laut di Markas Angkatan Bersama dan bertugas di Kementerian Pertahanan.

Katanya, Allahyarham dipercayai sedang dalam perjalanan pulang ke rumah dari tempat kerja.

TRELER TERBALIK HEMPAP MYVI DI PLAZA TOL IPOH


IPOH : Lebuh raya PLUS dari Plaza Tol Ipoh (S) menuju Simpang Pulai sesak lebih lima kilometer berikutan treler terbalik melintang laluan, malam tadi.

Kejadian berkenaan berikutan kemalangan antara treler yang membawa muantan kayu dengan Peodua Myvi di Kilometer 283.8 lebuh raya PLUS, pada 10.40 malam.

Pemandu treler dan pemandu kereta dilaporkan cedera.

Kenderaan yang menggunakan lebuh raya itu hanya boleh menggunakan laluan kecemasan.

Difahamkan, pemandu treler mengelak kereta, rempuh pembahagi jalan, terbalik dan menghempap Myvi terbabit yang dipandu seorang lelaki.

Sehingga kira-kira 1 pagi ini, polis dan PLUS masih mengawal lalu lintas dan menunggu dua kren sampai untuk mengalihkan treler berkenaan.