PERAK : Empat maut dalam kemalangan melibatkan kereta Proton Iswara Aeroback dan sebuah lori tangki di Kilometer 209 Lebuhraya Utara Selatan arah Utara, berhampiran Changkat Jering.
Kejadian yang berlaku kira-kira jam 3.10 petang tadi mengakibatkan dua lelaki dan dua wanita meninggal dunia di lokasi.
Mangsa maut dikenali sebagai pemandu kereta Proton Iswara Aeroback, Azida Othman, 43, dan tiga penumpang kereta berkenaan, Muhammmad Aiman Hakim Suhaimi, 19; Othman Hamid, 68; dan Aishah Arof, 62. Kesemua mangsa beralamat di Penaga, Pulau Pinang.
Pemandu lori tangki berusia 48 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Perak, Superintendan Wan Jamil Wan Chik berkata, siasatan awal mendapati kereta yang dipandu mangsa telah melanggar lori tangki yang diparkir di lorong kecemasan.
“Keempat-empat mangsa maut dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Taiping untuk dibedah siasat dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Taiping menerima panggilan mengenai kejadian jam 3.31 petang.
Menurut sumber jabatan tersebut, anggota bertindak menggunakan peralatan menyelamat untuk memotong bahagian bumbung bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.
Kesemua mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut dan operasi tamat jam 6.42 petang.
0 comments: