PENUNGGANG MOTOSIKAL MAUT TERCAMPAK 20 METER DI PUTRAJAYA


Putrajaya: Seorang pesara kerajaan maut selepas motosikal berkuasa tinggi ditunggangnya terbabit dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di simpang empat lampu isyarat Lebuh Bestari/Lebuh Perdana Selatan berdekatan Taman Warisan, Presint 16, di sini, hari ini.


Dalam kejadian jam 5.10 petang itu, mangsa Tengku Mohd Khalid Tengku Salleh, 59, yang menunggang motosikal jenis Kawasaki maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Putrajaya Asisten Komisioner Rosly Hassan berkata, siasatan awal berpandukan pemantauan kamera litar tertutup (CCTV) di situ mendapati mangsa dipercayai mengejar lampu isyarat kuning, menyebabkan dia berlanggar dengan sebuah kereta Proton Saga dipandu seorang lelaki

"Motosikal mangsa terpelanting dan terkena sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang berhenti di arah bertentangan.

"Mangsa pula tercampak kira-kira 20 meter ke hadapan dan terkena tiang papan tanda yang berada di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi.

Rosly berkata, pemandu lelaki yang menaiki Proton Saga lelaki berusia 31 tahun dan pemandu wanita menaiki Toyota Hilux berusia 25 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

0 comments: