JOHOR BAHRU - Dua murid sekolah parah manakala sembilan lagi cedera ringan selepas van sekolah yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta Perodua Alza di simpang tiga, Jalan Persiaran Jaya Putra 1, Taman JP Perdana, tengahari semalam.
Dalam kejadian kira-kira 12.45 tengahari, pemandu van sekolah berkenaan yang telah mengambil kesemua murid dari Sekolah Kebangsaan Mount Austin dan menghala ke Seri Austin dipercayai tidak memberhentikan kenderaannya apabila tiba di persimpangan tersebut.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, dalam masa yang sama juga sebuah kereta Perodua Alza yang datang dari arah bertentangan telah cuba mengelak van berkenaan yang tiba-tiba keluar dari simpang itu.
Menurutnya, akibatnya Perodua Alza itu terlanggar belakang van dan menyebabkan kenderaan itu berpusing.
“Seorang murid perempuan Tahun 4 mengalami cedera parah di bahagian kepala dan masih dirawat di zon merah Hospital Sultan Ismail (HSI).
“Manakala, seorang lagi murid lelaki Tahun 5 mengalami kecederaan dan luka di bahagian dahi, telinga dan sakit tengkuk masih dirawat di hospital yang sama dan dalam keadaan yang stabil.
“Sementara sembilan murid lain dan pemandu serta empat penumpang Perodua Alza mengalami kecederaan ringan dan dirawat sebagai pesakit luar,” katanya kepada Sinar Harian.
Sulaiman berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu van sekolah itu yang tidak memberhentikan kenderaannya di persimpangan berkenaan.
“Kes ini disiasat dibawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
0 comments: