LPT2 TERUS RAGUT NYAWA, TERBARU BAYI 5 BULAN MAUT


DUNGUN - Seorang bayi lelaki berusia 5 bulan, Adam Rizqi Zul Azlan maut setelah terbabit dalam satu nahas jalan raya di kilometer 357.6 Lebuh Raya Pantai Timur Fasa II (LPT2), Bukit Besi, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.40 petang itu, ibu mangsa, Siti Hajar Md Aziz, 29, dan kakaknya , Nuha Damia yang berusia dua tahun mengalami kecederaan parah membabitkan keseluruhan badan, manakala bapa, Zul Azlan Yaakub, 30, turut cedera.

Sewaktu kejadian, empat beranak yang menaiki kereta jenis Produa Alza berkenaan difahamkan dalam perjalanan dari arah Kuantan menuju ke Kuala Terengganu.

Setibanya di lokasi, kenderaan yang dinaiki keluarga itu hilang kawalan dan terbalik beberapa kali sebelum terbabas melanggar pembahagi jalan.

Berikutan kejadian itu, bayi malang dari Taman Medan Jaya, Petaling Jaya itu meninggal dunia serta merta di lokasi setelah mengalami kecederaan parah.

Pegawai Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Daerah Dungun, Mohd Jefri Ibrahim berkata, empat anggotanya dikejarkan ke lokasi untuk membantu setelah panggilan kecemasan diterima.

"Setibanya ke lokasi kita memberi pertolongan kecemasan dan membuat rawatan awal kepada mangsa yang cedera.

"Dengan menggunakan sebuah ambulans JPAM, anggota kami turut membantu menghantar mangsa ke Hospital Dungun untuk menerima rawatan lanjut," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superitendan Ahmad Zailani Yaacob ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan.


0 comments: