KUANTAN - Seorang bayi lelaki berusia tujuh bulan meninggal dunia selepas kenderaan pacuan empat roda dipandu bapa terbabit kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Jalan Pintasan Kuantan berhampiran Balok Baru dekat sini, pagi semalam.
Bayi terbabit, Muhammad Fateh Mohamad Afendy disahkan meninggal dunia kira-kira jam 11.30 pagi ketika menerima rawatan di Hospital tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan manakala ibunya, Che Nor Hasanah Che Kamaruddin, 28 yang parah dilaporkan berada dalam keadaan kritikal dan turut menerima rawatan di hospital sama.
Dalam kemalangan kira-kira jam 10 pagi itu, pemandu, Mohamad Afendy Abdul Aziz, 31 dan seorang lagi anaknya, Afifah Huraiyah, 2 turut mengalami kecederaan (spara kritikal) dan dihantar menerima rawatan di HTAA.
Pemangku Pegawai Turus Trafik IPK Pahang, Asisten Superintendan Zainalabidin Othman berkata, mangsa bersama ahli keluarganya yang yang turut tersepit dalam kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger itu dikeluarkan dengan bantuan orang ramai.
Menurutnya, seorang wanita yang memandu kereta jenis Toyota Vios, Cheng Shuh Yien, 27, dari Kampung Padang Jalan Sungai Lembing yang terbabit dalam kemalangan itu dilaporkan parah selepas tersepit dalam keretanya yang remuk.
“Mangsa yang berjaya dikeluarkan dengan bantuan anggota bomba dari Balai Bomba Gebeng kini dilaporkan berada dalam keadaan kritikal manakala pemandu kereta jenis Honda Accord, Rakidin Mohd Dom, 36, dari Chukai, Terengganu difahamkan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Zainalabidin berkata, Difahamkan, empat sekeluarga itu dipercayai dalam perjalanan dari arah pelabuhan menghala ke Kuantan manakala pemandu wanita kereta jenis Toyota Vios memandu bersendirian dari arah bertentangan.
“Ketika tiba di lokasi kejadian, kenderaan dipandu Mohamad Afendy dipercayai hilang kawalan dan membrek secara mengejut menyebabkan kereta jenis Honda Accord yang mengekori di belakang gagal mengelak lalu terlanggar bahagian kiri kenderaan di hadapannya.
“Pelanggaran tersebut menyebabkan Ford Ranger itu terbabas melanggar pembahagi jalan sebelum bertembung dengan Toyota Vios yang berada di laluan bertentangan.
“Dalam kejadian itu, kenderaan pacuan empat roda dipandu Mohd Afendy tercampak ke dalam semak di tepi jalan,” Katanya.
Menurutnya, kes kemalangan meragut nyawa bayi itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta pengangkutan jalan 1987.
Sementara itu, bapa kepada Mohamad Afendy, Abdul Aziz, 50-an berkata, anak, menantu dan cucu-cucunya bertolak dari rumahnya di Felda Cherul kira-kira jam 9.30 pagi selepas pulang bercuti untuk menyambut Aidilfitri bersama keluarga.
Menurutnya, anaknya yang bekerja sebagai kontraktor mengambil keputusan pulang semalam selepas isterinya yang bertugas guru di salah sebuah sekolah di sini akan mula mengajar hari ini.
“Kira-kira setengah jam selepas turun dari rumah, saya mendapat panggilan memberitahu mereka terlibat kemalangan.
“Saya terkejut dan hampir rebah melihat keadaan kenderaan yang remuk teruk bagaimanapun perasaan itu agak reda apabila dimaklumkan kesemua mereka sudah dibawa ke hospital walaupun keadaan masing-masing dilaporkan cedera,” katanya ketika ditemui di lokasi kemalangan sebelum cucu kesayangan dilaporkan meninggal dunia.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Anuar Hassan berkata, pihaknya dari Balai Bomba Gebeng menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu kira-kira jam 10.07 pagi sebelum jentera tiba ke lokasi 20 minit kemudian.
Menurutnya, sejurus tiba di lokasi mendapati seorang pemandu wanita tersepit dalam kenderaannya manakala mangsa yang lain berjaya dikeluarkan dengan bantuan orang ramai.
0 comments: