ANGGOTA TENTERA REJIMEN SEMPADAN MAUT KERETA TERBALIK


TANAH MERAH - Seorang anggota tentera yang bertugas di Kem Desa Pahlawan Bukit Cina, Kok Lanas, maut selepas kereta dipandunya terbabas di Kilometer 55, Jalan Kota Bharu-Machang-Jeli, Kampung Bechah Laut, dekat sini, semalam.


Mangsa, Sarjan Hanafi Mohd Nawi, 36, beralamat di Kem 2 Rejimen Sempadan (2 RS) Sempadan Jeli, dekat Jeli, meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Tanah Merah (HTM), jam 2.10 petang.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.40 petang itu, kereta Proton Putra dipandu mangsa dipercayai terbabas ke kanan jalan dan melanggar tebing sebelum kenderaan berkenaan terpelanting di tengah jalan dalam keadaan terbalik.

Mangsa yang tidak sedarkan diri kemudian dihantar ke HTM dan dilaporkan mengalami beberapa kecederaan parah termasuk pendarahan dalam perut, kiri kepala retak, tangan kiri patah dan remuk bahu kiri.

Ketika kejadian, mangsa dikatakan dalam perjalanan dari tempat kerjanya untuk pulang ke rumah di Kampung Jakar, dekat Bukit Bunga, Ayer Lanas, Jeli.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Suzaimi Mohamad mengesahkan kejadian terbabit dan siasatan lanjut kes diteruskan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

0 comments: