Kebanyakan kes kemalangan yang berlaku apabila kenderaan terbabas melanggar pengadang besi makin serius sejak akhir-akhir ini. Berdasarkan beberapa kemalangan sebelum ini, mangsa pasti terbunuh atau mendapat kecederaan serius apabila tertusuk besi pengadang jalan.
Adakah pengadang besi yang dipasang di jalan dan lebuh raya selamat kepada pengguna atau ia umpama jerangkap samar yang hanya menanti mangsa?
Adakah kemudahan berkenaan sudah tidak lagi relevan dan perlu diganti dengan pengadang konkrit yang dapat mengurangkan impak kematian dan kecederaan?
Dalam tinjauan yang dilakukan, rata-rata pengguna jalan raya dan lebuh raya bersetuju pengadang besi jalan lebih mendatangkan keburukan daripada kebaikan.
Presiden Proton Saga BLM Owner’s Club, Faizrullah Abdul Rahman berkata, penggunaan besi sebagai pengadang jalana raya pada ketika ini tidak sesuai.
Ini kerana, menurutnya, impak pengadang tersebut sangat besar sekiranya berlaku kemalangan jalan raya.
“Besi pengadang jalan raya ini boleh memudaratkan mangsa kemalangan. Contohnya, baru-baru ini, seorang wanita meninggal dunia setelah kepalanya terputus akibat ditusuk pengadang jalan raya dalam satu kemalangan semasa mangsa menaiki motosikal berkuasa besar bersama suaminya.
“Jadi, bagi saya, kalau tiada pengadang besi itu, mungkin nasib mangsa tidak seteruk itu,” katanya.
Menurut Kelab Permotoran, Anarchy Motor Club bersetuju pengadang jalan raya diperbuat daripada besi lebih memberi keburukan dari kebaikan.
Seorang jurucakap kelab tersebut berkata, walaupun pengadang jalan raya dibina, namun ia tidak mampu menghalang kenderaan daripada terbabas ke laluan bertentangan.
Masyarakat boleh lihat, banyak kemalangan jalan raya berpunca daripada kenderaan yang masuk ke laluan bertentangan.
“Pengadang besi sebenarnya dibina untuk mengelak kenderaan tergelincir ke laluan sebelah. Namun, hakikatnya, pengadang besi tidak dapat mengelak daripada perkara ini berlaku,” katanya.
Dalam pada itu, ketika tinjauan yang dilakukan di Lebuhraya Persekutuan, rata-rata penunggang motosikal bimbang sekiranya mereka terbabas dan merempuh besi pengadang jalan.
Bagi seorang penunggang motosikal, Mohd Zulfaqqar Rosli, 23, dia tidak dapat membayangkan nasib menimpa dirinya jika terbabas dan merempuh besi pengadang berkenaan.
“Nyawa penunggang motor ibarat telur di hujung tanduk, sedangkan kereta pun boleh tertusuk besi, inikan pula kami yang tiada sebarang perlindungan,” katanya.
Seorang lagi penunggang motosikal, N. Ayeswaran, 23, berkata, terdapat di sesetengah lokasi ia sudah tertanggal dan mendatangkan bahaya kepada pengguna.
"Saya harap perkara ini dapat diberikan perhatian serius demi keselamatan dan nyawa penunggang motor macam kami ini,"katanya.
Pemandu teksi, Noor Affandi, 55, mencadangkan supaya pihak bertanggungjawab meninggikan pengadang jalanraya sekurang-kurangnya satu meter daripada ketinggian pengadang jalan raya ketika ini.
Katanya, ketinggian ketika ini boleh mengakibatkan silau kepada pemandu jalanraya sepertinya.
“Sekiranya cahaya matahari terik, mata saya akan silau dan pemanduan saya terganggu,” katanya.
0 comments: