SEORANG MAUT SEORANG LAGI PARAH KERETA BERTEMBUNG PACUAN EMPAT RODA DI SUNGAI DURIAN


LAPORAN KEMALANGAN MAUT : Seorang lelaki maut dan seorang lagi cedera ringan dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Machang- Kuala Krai, dekat Sungai Durian jam 8 pagi tadi.

Mangsa, Muammar Gaddafi Rosdi, 22, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah dialaminya.

Kemalangan berlaku apabila kereta Proton Wira yang dipandu mangsa dari arah Machang ke Kuala Krai hilang kawalan sebelum bertembung dengan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton yang dipandu seorang lelaki.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai Che Razak Harun berkata, pertembungan itu menyebabkan mangsa tersepit dan pihak bomba membantu mengeluarkan mangsa.

"Bomba berjaya mengeluarkan mangsa dan disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital sebelum diserahkan kepada pihak polis," katanya di sini, hari ini.

TUJUH SEKELUARGA MAUT ANGKARA LORI LIMA TAN


Tujuh sekeluarga maut, lapan cedera dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) KESEDAR Renok, di sini, awal pagi tadi.

Berdasarkan maklumat awal yang diterima, kemalangan pada 1.30 pagi itu mengorbankan pemandu dan penumpang kereta Perodua Myvi.

Difahamkan, kejadian dipercayai berpunca daripada lori lima tan yang datang dari arah Kuala Krai hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan Perodua Myvi itu.

Sebuah lagi Perodua Myvi dan Perodua Alza terbabit dalam kemalangan itu. Mangsa yang maut dan cedera dihantar ke Hospital Gua Musang (HGM), di sini


BAPA MAUT ANAK SELAMAT KERETA PUTUS DUA


Seorang lelaki maut setelah kereta dipandunya terlibat Kemalangan jalan raya melibatkan dua buah kereta jenis Toyota Corolla dan Proton Iswara di Kilometer 8, Jalan Dabong Kuala Balah dekat Kampung Bukit Bedak, kira-kira jam 4 petang tadi.

Mangsa, Mansor Idris, 48, yang tersepit di tempat duduk pemandu maut di tempat kejadian sementara anak perempuan berusia 24 tahun cedera ringan.

Perlanggaran turut menyebabkan kereta dipandu mangsa terputus dua.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Abdullah Roning  berkata, hasil siasatan awal mendapati kereta jenis Toyota Corolla dipandu mangsa dari arah Dabong ke Kuala Balah hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan.

Menurutnya, kenderaan dipandu mangsa kemudiannya melanggar kereta Proton Iswara di laluan bertentangan.

"Kejadian merupakan kes pertama kemalangan maut di Kuala Krai selepas Ops Selamat dilancarkan, kelmarin.

"Pemandu kereta yang terlibat kemalangan dengan mangsa patah paha menerima rawatan di Hospital Jeli,"katanya kepada Sinar Harian.

Kes disiasat  dibawah Seksyen  41 (1) Akta Pengangkutan Jalan ( APJ)  1987.

Siasatan lanjut berhubung kejadian masih diteruskan.

KEMALANGAN MAUT ANGKARA LEMBU


Empat lelaki maut manakala seorang lagi parah selepas kereta dinaiki mereka terbabit kemalangan di Kilometer 10 Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat Renok, di sini. Kejadian 7.30 malam tadi turut membabitkan sebuah kenderaan lain dan seekor lembu.