IBU DAN BAYI TUJUH BULAN MAUT TERCAMPAK KELUAR DARI KERETA DI DUNGUN


DUA beranak termasuk bayi berusia tujuh bulan maut selepas kereta dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan di Kilometer 65, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, Dungun, hari ini.

Dalam kemalangan 1.40 tengah hari, Nurbani Fartini Ahmad Farnizar, 25, yang parah di kepala dan badan meninggal dunia di tempat kejadian manakala bayinya, Nur Fauzana Mohd Nazrin berusia tujuh bulan meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Dungun.

Difahamkan, dua beranak terbabit yang duduk di sebelah pemandu tercampak keluar daripada kereta dipandu suami mangsa, Mohd Nazrin Nizam, 25.

Kejadian dipercayai berlaku apabila kereta dinaiki tiga beranak dari arah Kuala Terengganu ke Dungun terbabas selepas tayar belakang kereta itu meletup.

Akibat kejadian itu, kereta berkenaan merempuh tiang elektrik di atas pembahagi jalan sebelum terbalik.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Ahmad Zailani Yaacub ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Beliau berkata, jenazah mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat manakala pemandu kereta berkenaan yang tinggal di Kampung Pulau Serai, dekat sini hanya cedera ringan.

SEORANG LELAKI MAUT KERETA DI PANDU TERPEROSOK BAWAH TRELER


Seorang lelaki maut selepas kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah treler dalam kemalangan di Kilometer 73 Jalan Jerangau-Jabor di hadapan Pusat Koreksional Bukit Besi, malam tadi.

Insiden kira-kira pukul 8.10 malam itu menyebabkan mangsa, Syed Roslim Syed Ali, 26, terbunuh di tempat kejadian.

Nahas itu dipercayai berlaku selepas kereta Proton Wira yang dipandu mangsa dari arah Ajil ke Bukit Besi hilang kawalan dan berpusing sebelum masuk ke laluan bertentangan.

Sejurus selepas itu, sebuah treler yang membawa muatan kelapa sawit dipandu dari arah bertentangan gagal mengelak lalu merempuh kereta itu dan mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala serta anggota badan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Al Muktaffi Billah Shah (AMBS), Jas Wari Awang berkata, enam anggota bomba bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima laporan.

"Kita mengambil masa kira-kira 20 minit sebelum berjaya mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu," katanya ketika ditemui ditempat kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun Supt. Ahmad Zailani Yaacub ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian dan menurutnya mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Dungun untuk dibedah siasat.

"Pemandu treler terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan dan ujian saringan air kencing telah dilakukan kepada pemandu treler yang berasal dari Ajil itu negatif daripada pengaruh dadah," katanya.