PEMUDA TEMUI AJAL KETIKA MAHU PULANG KE RUMAH UNTUK MAKAN TENGAH HARI


Hasrat untuk pulang makan tengah hari di rumah tidak kesampaian buat seorang lelaki apabila motosikal yang ditunggangi terlibat dalam kemalangan dan meragut nyawanya.


Mangsa, Abdullah Hassan, 22, disahkan meninggal dunia selepas terbabas dan merempuh sebuah kenderaan lain di Jalan Ketengah Jaya - Felda Kerteh 2 berhampiran kilang tempat dia bekerja kira-kira jam 3 petang pada Ahad.

Ketika kejadian, Abdullah yang bertugas sebagai operator kilang sawit dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Felda Kerteh 6.

Motosikal mangsa dilaporkan memasuki laluan bertentangan selepas melalui satu selekoh lalu merempuh bahagian hadapan sebuah kenderaan lain, mengakibatkan dia terhumban kira-kira lima meter ke bahu jalan dan meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala.

Bagaimanapun, pemandu kereta Proton Wira berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan. Ketua Polis Daerah Dungun, Supritendan Ahmad Zailani Yaakub ketika dihubungi megesahkan menerima laporan kejadian tersebut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat.

0 comments: