Seorang pekerja kilang elektronik berkata van yang terbabit dalam kemalangan dan mengorbankan tujuh orang pagi tadi merupakan van yang beliau selalu naiki untuk ke tempat kerjanya di Senai.
Namun hari ini, Mohd Ridzwan Jahual, 32, yang menyewa di Taman Rinting, Masai berkata, oleh kerana beliau bercuti hujung minggu, beliau tidak menaiki van tersebut.
"Walaupun saya terselamat, namun saya amat sedih kerana adik bongsu saya maut dalam kemalangan itu," katanya yang berasal dari Kampung Terusan Tanjung, Semporna, Sabah kepada pemberita.
Kemalangan tersebut berlaku pada pukul 6 pagi antara van pekerja berkenaan dengan sebuah lori di Jalan Seelong, Kampung Seelong Jaya, Senai, Kulai.
Adik kepada Mohd Ridzwa, Julasri, 26, maut di lokasi kejadian beserta lima penumpang dan pemandu van manakala seorang lagi meninggal di Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim (HTSMTI), Kulai.
Beliau berkata adiknya yang sebelum ini bekerja di syarikat minyak dan gas di Pulau Indah, Klang, Selangor, baru bekerja di kilang itu selama tiga minggu.
"Sebelum ini arwah adik saya kebiasaannya periang dan peramah, tetapi sejak akhir-akhir ini dia agak pendiam. Saya fikir dia letih sebab bekerja," katanya yang kali terakhir bertemu adiknya pada jam 5 pagi tadi sebelum adiknya keluar dari rumah sewa mereka untuk ke tempat kerja.
Sementara itu seorang jurugambar polis yang ditugaskan merakam gambar di tempat kejadian, Razis Sigal, 28, tidak menyangka dua daripada mangsa yang dilihatnya bergelimpangan di tempat nahas merupakan darah dagingnya sendiri.
Razis berkata, Julasri merupakan bapa saudaranya manakala seorang lagi mangsa Nur Hakim Bassal, 25, adalah sepupunya.
"Seperti biasa saya akan mendekati mangsa dan memeriksa satu persatu untuk dirakam gambar mereka. Tetapi kali ini yang saya ambil gambar mereka adalah pak cik dan sepupu saya sendiri," kata konstabel ini yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kulai Cawangan Trafik.
"Saya segera menghubungi keluarga bapa saudara dan sepupu saya di Sabah untuk memaklumkan kejadian yang berlaku," katanya.
Seorang saksi kejadian, Abdul Aziz Kassim, 49, berkata beliau baru pulang dari minum pagi dan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Seelong Jaya apabila terdengar bunyi dentuman kuat.
"Pada mulanya saya ingat tayar kereta saya yang pecah. Namun apabila saya teruskan perjalanan saya, saya nampak ada kereta berhenti di tengah-tengah jalan. Saya kemudiannya sangat terkejut apabila ternampak empat mayat berlumuran darah dan bergelimpangan di atas jalan raya," katanya.
Abdul Aziz berkata keadaan di lokasi kemalangan adalah sangat dahsyat dengan jalan raya dibasahi darah mayat-mayat yang bergelimpangan.
Beliau yang turut membantu mangsa, melihat mangsa yang cedera parah tersepit di dalam van yang remuk manakala pemandu lori juga turut tersepit di tempat duduknya. - Bernama
0 comments: