PEMANDU TRELER NAHAS NGERI DI SEREMBAN DIKEHENDAKI POLIS


Seorang pemandu treler dicari bagi membantu siasatan berhubung kes kemalangan maut membabitkan empat kenderaan di Kilometer 270.2 Lebuh Raya Utara-Selatan arah Selatan berhampiran kawasan Rehat dan Rawat Seremban petang tadi. 

Dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian iaitu Lau Lian Huat, 62 tahun dan Lim Ah Gim, 60 tahun, berasal dari Pulau Gadong, Melaka.

Menurut Ketua Polis Daerah Nilai- Superitendan Zaldino Zaludin, siasatan awal mendapati sebuah treler tanpa muatan yang sedang bergerak terus dari Seremban menuju ke arah Nilai hilang kawalan lalu melanggar penghadang besi pembahagi lorong dan masuk ke laluan sebelah yang berlawan arus lalu melanggar bahagian hadapan kereta yang berada di lorong paling kanan.


Kereta tersebut kemudiannya berpusing dan melanggar kenderaan yang berada di lorong ketiga. 

Kenderaan yang berada di belakang terus melanggar bahagian kiri belakang treler yang melintang jalan. 

Tiga lagi mangsa lain iaitu Azian Saleh,45, Abdul Rahim Ramlee, 52 dan Mohd Tahir Othman, 51, mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban untuk rawatan lanjut.

Di bawah adalah footage dari dashcam yg merakam saat berlakunya kemalangan maut di KM270 Lebuhraya PLUS arah selatan, dekat Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban. Sebuah treler dari arah utara dipercayai hilang kawalan dan terbabas memasuki laluan bertentangan lalu merempuh Proton Preve serta Proton Waja..


NAHAS NGERI BAS KILANG DI TOL JURU MENGORBANKAN LAPAN NYAWA


EMPAT daripada lapan pekerja kilang yang maut dalam kemalangan KM147 lebuh raya PLUS, arah utara, dekat Tol Juru, Bukit Mertajam, terbunuh di lokasi nahas, pada kira-kira 6 pagi.

Sekurang-kurangnya tiga puluh pekerja cedera dalam kemalangan dua bas kilang yang dikatakan berlaku pada kira-kira 6 pagi.

Jurucakap Pusat Gerakan dan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, berkata mereka menerima panggilan pada 6.02 pagi.

“Apabila tiba, kami mendapati kemalangan membabitkan dua bas kilang dan satu van membawa pekerja.

“Ketika itu, terdapat hampir 30 mangsa mengalami kecederaan. Empat mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Mangsa yang meninggal dunia dan cedera dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan mengesahkan kejadian dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

BERGELIMPANGAN DIATAS JALAN DAN ADA YANG MAUT SERTA MERTA


DUA maut manakala sebelas cedera, termasuk dua parah selepas kereta rempuh van kilang di Jalan Sungai Petani-Tikam Batu, dekat Kampung Padang Buluh, Sungai Petani, awal pagi ini.

Van kilang itu dikatakan bergerak dari Sungai Petani manakala dan Perodua Myvi dari Tikam Batu dalam kemalangan pada 5.55 pagi.

Mangsa yang maut adalah lelaki pemandu kereta dan wanita pekerja kilang manakala mangsa cedera dihantar mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).

Difahamkan, van dinaiki 10 orang termasuk pemandu dalam perjalanan ke kilang Sony di Kawasan Perindustrian Prai, Pulau Pinang. 

Akibat rempuhan kuat itu van kilang terbabit berpusing beberapa kali menyebabkan semua 10 penumpang tercampak ke atas jalan dengan seorang mangsa turut terperosok di bawah kereta.

Pemandu kereta yang tersepit dan seorang pekerja kilang disahkan maut serta-merta di lokasi.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Tikam Batu, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.01 pagi.

Katanya, sebaik tiba didapati semua penumpang van tercampak di atas jalan manakala pemandu van dan kereta tersepit di tempat duduk.

"Tindakan segera diambil dengan mengeluar tiga mangsa yang tersepit. Semua mangsa kemudian dihantar ke HSAH.

"Pekerja yang terperosok bawah kereta dikeluarkan.

"Semua mangsa yang cedera kemudian dihantar ke HSAH menggunakan ambulans EMRS dan hospital," katanya.

EMPAT PENUNGGANG MOTOSIKAL MAUT DALAM KEMALANGAN BERASINGAN


EMPAT penunggang motosikal maut dalam dua kemalangan berasingan di KM301.5 dan 302 Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban berhampiran Kajang, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata, jarak lokasi dua kemalangan itu hanya kira-kira 500 meter dengan perbezaan masa 10 minit.

Menurutnya, dalam kemalangan pertama pada 2.20 pagi di KM302, dua penunggang motosikal maut apabila mangsa pertama berusia 16 tahun menghimpit dan melanggar belakang motosikal mangsa kedua, 26 tahun.

"Akibat pelanggaran itu, kedua-dua mangsa parah dan disahkan maut di lokasi kejadian, " katanya.

Katanya, dalam kejadian kedua jam 2.30 pagi di KM301.5, dua penunggang motosikal maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan tujuh motosikal.

Dzaffir berkata, mangsa maut masing-masing lelaki berusia 23 tahun dengan seorang maut di lokasi kejadian, manakala seorang lagi mangsa yang parah disahkan meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.

"Kejadian berlaku apabila mangsa pertama yang menunggang Yamaha LC melanggar belakang sisi kanan Perodua Axia dipandu seorang lelaki di lorong kedua lebuh raya yang menyebabkan motosikal ditunggang hilang kawalan dan berpusing.

"Enam motosikal di laluan yang sama tidak sempat mengelak dan melanggar motosikal mangsa.

"Keempat- empat yang maut ditempatkan di Unit Forensik Hospital Serdang untuk bedah siasat, manakala tujuh mangsa cedera di rawat di hospital sama," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(8) Akta Pengangkutan Jalan 1987.