Dua beradik maut dalam keadaan mengerikan selepas digilis sebuah lori treler yang dalam perjalanan pulang dari sekolah di Kilometer 339 Jalan Kuala Lumpur-Kota Bharu berhadapan Sekolah Kebangsaan Al-Jabar, Dong di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, semasa kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, mangsa, Mohamed Zulfikri Mohamad Zul, 16, menunggang motosikal bersama adiknya Nurul Syakirah, 14, untuk pulang ke rumah dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dong di sini ke arah Raub.
Menurutnya, berdasarkan keterangan saksi kemalangan berlaku apabila motosikal dari arah Dong memotong sebelah kiri treler yang dalam perjalanan ke arah yang sama.
"Namun ketika memotong, motosikal tersebut dipercayai hilang kawalan dan terjatuh ke kanan jalan sebelum terkena pada tayar belakang treler membawa muatan kayu berkenaan.
"Mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian dan kemudiannya dihantar ke Hospital Raub untuk bedah siasat," katanya kepada Sinar Harian di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan masih giat dilakukan.
Katanya, pada masa ini pihak polis telah mengambil sampel darah pemandu dan penunggang motosikal berkenaan untuk siasatan lanjut.
Tambahnya, siasatan awal mendapati keadaan jalan adalah lurus dan semasa kejadian kedua-dua kenderaan berkenaan dalam keadaan perlahan kerana ramai pelajar sedang berjalan di bahu jalan.
"Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku akibat kecuaian penunggang motosikal yang memotong di sebelah kiri dan gagal mengawal kenderaannya lalu terjatuh dan terkena tayar belakang sebelah kiri lori treler,"ujarnya.
0 comments: