PETANDA SEBELUM EMPAT SAHABAT TEMUI AJAL


Seolah-olah tahu ajal akan tiba, empat sahabat sempat mencadangkan kepada rakan-rakan mereka untuk mengadakan bacaan Yasin sebelum kesemuanya maut dalam kemalangan dengan sebuah treler di Kilometer 12.8, Lebuh Raya Koridor Guthrie, di sini malam tadi.


Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 malam itu, Muhamad Habiibullah Ruslan, 24, Syawalnizan Azman, 23, Shariffudin Zailani, 21, dan Mohd. Zaki Yahya, 21, maut di tempat kejadian.

Kesemua mangsa yang menaiki tiga motosikal berkonvoi dari arah Sungai Buloh menuju ke Shah Alam dan dikatakan berlumba sesama sendiri sebelum merempuh bahagian belakang sebuah treler di lebuh raya berkenaan.

Menurut abang kepada salah seorang mangsa, Solehhudin Zailani, 24, ketika kejadian, adiknya, Shariffudin bersama tiga rakannya itu dikatakan mahu mengambil alat ganti motosikal di Shah Alam dekat sini kira-kira pukul 9 malam.

Ujarnya, sebelum bertolak, kesemua mangsa sempat bertemu beberapa rakan lain dan mencadangkan agar satu majlis bacaan Yasin diadakan pada malam ini.

“Tak sangka cadangan mereka merupakan petanda bahawa mereka akan pergi untuk selamanya. Mereka macam tahu yang ajal mereka sudah dekat,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Tambah Solehhudin, kesemua mangsa tinggal di kawasan kejiranan berhampiran iaitu di sekitar Sungai Buloh dan Kuang dekat sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd. Rozi Jidin berkata, siasatan awal pihaknya percaya kesemua mangsa berlumba sebelum terlibat dalam kemalangan tersebut.

Menurut beliau, tiga mangsa iaitu Muhamad Habiibullah, Syawalnizan dan Mohd Zaki menunggang motosikal sementara Shariffudin membonceng salah sebuah kenderaan tersebut.

Ujarnya, berdasarkan siasatan awal, kesemua mangsa berkonvoi dari Sungai Buloh melalui Lebuh Raya Utara Selatan sebelum memasuki Lebuh Raya Guthrie.

Mereka dikatakan berlumba sesama sendiri serta tidak sempat mengelak treler di hadapan dan maut di tempat kejadian.

“Mayat kesemua mangsa dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk dibedah siasat dan dituntut kira-kira pukul 5 pagi ini oleh keluarga masing-masing untuk urusan pengkebumian,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Sementara itu, Selaseh Abd. Rahman, 50, ibu Shariffudin begitu terkilan kerana anaknya tidak sempat menjamah makanan yang dimasaknya.

“Saya sempat hidangkan makanan untuk kami sekeluarga makan bersama. Namun Shariff (Shariffudin) hanya minum air kerana tergesa-gesa mahu keluar bertemu rakannya,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

0 comments: