BACHOK : Tiga lelaki termasuk seorang kanak-kanak berumur lima tahun maut manakala dua lagi cedera parah apabila dua buah motosikal bertembung di Jalan Tok Burong, dekat sini, semalam.
Dua buah motosikal remuk selepas bertembung dalam kemalangan yang menyebabkan tiga maut dan dua cedera parah di Kampung Tok Burung, Bachok, Kelantan, kelmarin.
Kejadian kira-kira pukul 10.30 malam itu menyebabkan Mohd. Syahir Rajani, 14, dan sepupunya, Ahmad Isyraf Hazim Ismail, 5, serta Nik Hanzalllah Nik Hassan, 19, meninggal dunia di tempat kejadian.
Dua mangsa yang cedera parah ialah pembonceng motosikal yang ditunggang oleh Nik Hanzallah, Syahwi Zarfan Sairi, 7, dan Lukman Hakim Abu Manaf, 18.
Ketua Polis daerah, Deputi Superintenden Abdul Hamid Che Ahmad berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila motosikal Yamaha 125z yang ditunggang oleh Nik Hanzallah dari arah Perupok ke Bachok cuba memotong kenderaan ketika melalui jalan itu.
Menurutnya, motosikal itu telah memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan motosikal yang ditunggang Ahmad Isyraf.
“Pertembungan menyebabkan ketiga-tiga mangsa maut manakala dua lagi pembonceng yang cedera parah dan dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Pada masa yang sama, beliau meminta orang ramai yang melihat kemalangan tersebut tampil memberikan maklumat bagi membantu siasatan kes.
“Saya nasihatkan pengguna jalan raya lebih berwaspada memandu kenderaan dalam keadaan jalan yang licin pada musim hujan. Ibu bapa juga seharusnya tidak membenarkan anak-anak yang tidak memiliki lesen yang sah memandu kenderaan kerana ia boleh membahayakan orang lain,” katanya.
Sementara itu, bapa Ahmad Isyraf Hazim, Ismail Yusof, 45, berkata, sebelum kejadian mangsa sudah meminta kebenaran untuk keluar bersiar-siar di sekitar Kampung Daramain, dekat sini sebelum mereka sekeluarga pulang ke Tawau, Sabah hari ini.
“Saya tidak ada halangan membenarkannya bersama sepupunya. Namun, saya tidak menyangka dia kembali ke kampung halaman untuk pergi buat selama-lamanya.
“Saya reda dengan ketentuan Allah di mana kemalangan yang berlaku adalah satu penyebab yang telah ditentukan-Nya,” katanya yang bertugas sebagai pensyarah Kolej Komuniti Tawau.
Katanya, mereka sekeluarga pulang ke kampung tersebut sempena cuti persekolahan sejak akhir November lalu dan sepatutnya pulang semula ke Tawau pada pukul 9 pagi ini.
“Saya hanya menyedari kemalangan itu selepas diberitahu oleh jiran menerusi panggilan telefon. Saya terpaksa menangguhkan penerbangan untuk kembali bertugas sehingga proses pengebumian arwah yang diputuskan untuk disemadikan di kampung keluarga ibunya, di Gerik, Perak selesai disempurnakan,” katanya.
0 comments: