SUAMI MAUT, ISTERI DAN ANAK CEDERA FORTUNER LANGGAR BELAKANG LORI PASIR


Slim River: Seorang lelaki maut manakala isteri serta dua anaknya cedera selepas kenderaan jenis Toyota Fortuner dipandu isterinya hilang kawalan sebelum melanggar belakang bahagian belakang sebuah lori pasir di Kilometer 380.4 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, tidak jauh dari sini, tengah hari tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, mangsa Kamalshah Mohd Salleh,50, maut di tempat kejadian manakala isterinya Nor Adilah Md Rejab, 45, serta dua anak pasangan itu, Mohd Izuan,13, dan Hanie Izzatul Nisa, 7, cedera di beberapa bahagian anggota badan.

Ketua Polis Daerah Tanjung Malim, Superintendan Ahmad Mat Isa berkata, siasatan awal mendapati pemandu dipercayai terlelap mengakibatkan kenderaan berkenaan melanggar belakang lori pasir.

Menurutnya, kemalangan itu menyebabkan mangsa yang juga suami pemandu kenderaan berkenaan, maut di tempat kejadian manakala isteri serta dua anaknya yang cedera, dibawa ke Hospital Slim River untuk rawatan.

“Pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan. Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Slim River untuk bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

0 comments: