Dalam kejadian kira-kira pukul 9.15 pagi itu, mangsa, Mohd. Azha Jusoh, 47, dikatakan dalam perjalanan dari arah Kuantan ke Kuala Terengganu dengan membawa 49,000 liter minyak untuk bekalan di beberapa buah stesen minyak di sana.
Mangsa gagal menyelamatkan diri ketika lori tersebut terbakar selepas dipercayai tersepit di tempat duduknya. Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohamad Said Ibrahim berkata, kejadian itu menyebabkan kedua-dua arah laluan terpaksa ditutup dan pengguna lebuh raya tersebut terpaksa dilencongkan ke Plaza Tol Kerteh dan Kijal untuk keluar menuju ke Kemaman dan Kuala Terengganu.
“Kita menutup kedua-dua jalan kerana bimbang jika lori itu meletup akan mengancam keselamatan pengguna jalan raya,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian. Menurut Mohamad Said, tiga jentera bersama 15 orang anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kerteh,
Paka dan Cukai mengambil masa satu setengah jam untuk memadamkan api menggunakan buih dan air. Tambahnya, mayat mangsa berjaya dikeluarkan dua jam kemudian dan dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk bedah siasat sebelum dibawa pulang ke kediamannya di Kuala Berang untuk pengkebumian.
“Kita akan siasat punca kemalangan ini sama ada disebabkan oleh tayar lori yang meletup hingga menyebabkan kenderaan itu hilang kawalan dan terbalik atau faktor kecuaian pemandu itu sendiri.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.
0 comments: