KEMAMAN - Enam sekeluarga maut selepas kereta yang dinaiki terbabas sebelum berpusing dan terperosok bawah treler yang berhenti di lorong kecemasan dalam kejadian di Kilometer 258.8 Lebuh Raya Pantai Fasa 2 (LPT2) dekat Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Perasing, di sini, jam 12.30 tengah hari tadi.
Kesemua mangsa yang tersepit dalam remukkan kereta Toyota Camry meninggal dunia serta merta di lokasi kejadian.
Mangsa yang maut adalah Pengurus Pusat Jualan Perodua Padang Midin di Kuala Terengganu, Azaman Ramli, 49; isterinya, Noor Akmal Mohd Zail, 48; dan anak mereka, Alif Hateem, 16, dan Aliff Hakim, 12.
Turut maut, Noor Amira Syahirah Alias, 22; yang beralamat di Kampung Raja, Besut dan anaknya, Aqeel Muslim Abdullah, 3.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Said Ibrahim berkata, ketika kejadian kesemua mangsa dalam perjalanan dari arah Kuala Terengganu menghala ke Kuantan.
Katanya, bagaimanapun pemandu treler yang berusia 35 tahun yang beralamat di Bachok, Kelantan tidak mengalami kecederaan.
"Ketika kejadian pemandu treler muatan beras itu sedang tidur dalam kenderaannya dan tidak menyedari trelernya dirempuh dari belakang.
"Pihak polis berharap saksi kejadian tampil ke balai polis untuk menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan lanjut kes ini," katanya.
Al-Fatihah.
0 comments: