MAUT KERETA BERLIPAT DI POKOK


KOTA TINGGI - Seorang pembantu kedai maut selepas Proton Wira dipandu terbabas sebelum melanggar pokok di Kilometer 2.2 Jalan Teluk Ramunia-Punggai awal pagi tadi.


Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu dipercayai berlaku apabila kenderaan yang dipandu mangsa dalam perjalanan dari arah Sungai Rengit menghala ke Teluk Ramunia telah terbabas ke kiri jalan dan menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman ketika mengesahkan kejadian berkata mangsa dikenali sebagai Cheng Meng Chuan,24 beralamat di Sungai Rengit maut akibat mengalami cedera parah di kepala.

"Hasil siasatan mendapati tempat kejadian merupakan jalan selekoh dua hala. Keadaan jalan gelap tanpa lampu. Siasatan awal juga mendapati kemalangan berpunca dari pemandu kenderaan terbabit kerana gagal mengawal kenderaan yang dipandu dan terbabas ke kiri jalan.

"Ketika kejadian keadaan cuaca baik. Mangsa seorang diri dalam kereta. Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk urusan bedah siasat,"katanya.

Tambahnya, kes disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

0 comments: